KUALA LUMPUR - Tiga aset milik penuh Muslim Care Malaysia dan satu aset milik bersama menjadi sasaran serangan Zionis di Gaza dalam tempoh enam bulan konflik Israel-Palestin yang membabitkan kerugian RM7.5 juta.
Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, Masjid Muhammad Al Amin yang siap dibina pada 2013 di Khan Younis musnah dibom pada hari kedua serangan.
Menurutnya, selang dua minggu kemudian, ruang tambahan di Kompleks Imigresen Rafah yang dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia turut musnah dibom.
"Kemusnahan berikutnya ialah Pusat Fisioterapi Enaya yang dibina dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain dari Malaysia.
"Terakhir, Kompleks Wakaf Palestin iaitu sebuah bangunan komersial yang kami bina dengan kos lebih RM5 juta di tengah bandar Gaza turut menjadi sasaran sebelum sempat ia dirasmikan dan digunakan," katanya pada Majlis Iftar Ramadan (Pelestin, Syria dan Yaman) di Hotel Grand Barakah di sini pada Khamis.
Katanya, selain mengebom dan membunuh rakyat Palestin sesuka hati, rejim Zionis Israel dan sekutunya turut menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan berupa makanan dan ubat-ubatan untuk penduduk Gaza.
"Bantuan mencurah-curah dari seluruh dunia disekat, dicuri dan disusahkan proses penghantarannya dengan pelbagai kerenah birokrasi.
"Kerakusan rejim Zionis Israel membantai penduduk Palestin sehingga kini yang sudah masuk hari ke-161 dengan lebih 30,000 gugur syahid, sebahagian besar daripadanya kanak-kanak dan wanita," katanya.
Ujarnya, situasi menyedihkan apabila komuniti antarabangsa termasuk negara-negara Islam dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tidak memiliki kekuatan untuk menghentikan kezaliman Israel.
Bagaimanapun, beliau melahirkan kesyukuran dengan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap situasi di Palestin sejak bermula konflik sehingga sekarang.
Katanya, kempen mengutip dana yang dianjurkan pertubuhan itu mendapat sambutan baik daripada orang ramai.
"Setakat ini, kira-kira RM3 juta telah kami belanjakan sejak Oktober lepas hingga kini sebahagian besarnya untuk agihan makanan dan bantuan musim sejuk kepada rakyat Palestin di Gaza.
"Muslim Care Malaysia melalui wakil kami di sana, saudara Ahmed Abu Ayesh Annajar yang juga Pengerusi Muslim Care Palestin turun padang untuk menghulurkan bantuan sejak hari keempat peperangan berlaku.
"Setiap hari, Abu Ayesh bersama pasukannya memasak dan mengedarkan makanan untuk 2,500 orang hasil sumbangan daripada anda semua," katanya.
Bagaimanapun, perang kali ini berlarutan amat panjang, sehingga lebih 160 hari dan menjadikannya yang terpanjang sejak konflik Israel-Palestin tercetus pada 1948.
Susulan itu katanya, program Majlis Iftar Amal Ramadan diadakan pada Khamis untuk mendapatkan lebih banyak sumbangan dan sokongan untuk membantu rakyat Palestin yang menderita ekoran konflik peperangan.
"Kempen kutipan dana yang kami lancarkan ini turut diperluaskan dengan turut membabitkan saudara kita di Syria dan Yaman.
"(Sebanyak) 80 peratus sumbangan akan disalurkan kepada Palestin untuk membeli sumber makanan dan keperluan lain manakala baki disalurkan kepada Syria dan Yaman," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28