Tempoh kerja singkat bantu wanita seimbang kerjaya, keluarga

Iklan
Sejak diumumkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan mengambil kira tempoh bekerja lebih pendek bagi penjawat awam wanita, ramai golongan hawa melihatnya sebagai prospek positif ke arah meningkatkan penglibatan mereka dalam dunia pekerjaan.(Gambar hiasan) Foto 123rf

KUALA LUMPUR - Sejak diumumkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan mengambil kira tempoh bekerja lebih pendek bagi penjawat awam wanita, ramai golongan hawa melihatnya sebagai prospek positif ke arah meningkatkan penglibatan mereka dalam dunia pekerjaan.

Hakikatnya, isu wanita terpaksa melupakan keinginan untuk bekerja bagi mengurus keluarga sudah lama berantaian, tetapi entah mengapa sehingga ke hari ini masih belum ada jalan penyelesaian biarpun pelbagai usaha dilakukan sebelum ini.

Iklan
Iklan

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Novel Lyndon berkata, pelaksanaan inisiatif itu menepati hasrat kerajaan untuk memastikan sasaran 60 peratus penyertaan tenaga buruh wanita di negara ini.

Pelaksanaan itu katanya, akan menyelesaikan pelbagai isu yang menghantui wanita bekerja seperti terpaksa menghantar anak ke pusat jagaan dan kekangan untuk mengikuti proses pembelajaran anak.

Iklan

"Usaha kerajaan ini juga bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan dan proses interaksi dalam kalangan ahli keluarga tetapi turut membantu pasangan yang mempunyai anak kecil atau yang baharu berkahwin untuk menguruskan keluarga dengan seimbang.

"Wanita memainkan peranan domestik untuk menjaga atau mengurus ahli keluarga, selain mereka juga mencari rezeki bagi membantu suami serta bagi tujuan pembangunan kerjaya,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian SSPA yang sedang dirangka akan turut mengambil kira memberi kelonggaran kepada penjawat awam wanita untuk bekerja dalam tempoh lebih pendek supaya dapat memberi lebih perhatian kepada keluarga.

Berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, Anwar berkata, kelonggaran itu mungkin akan melibatkan kadar upah yang berbeza dan menuntut perubahan daripada pemikiran konvensional, memandangkan terdapat wanita yang terpaksa meninggalkan kerjaya bagi memberi perhatian kepada keluarga.

Walaupun melihat kajian SSPA ini sebagai langkah positif, namun Novel berkata, kajian itu juga harus mengenal pasti sasaran wanita yang terlibat dalam semakan berkenaan, sama ada wanita bujang, tidak mempunyai komitmen dan tidak berkahwin turut dimasukkan dalam cadangan tersebut, serta adakah semakan itu akan mengganggu senioriti dan pembangunan kerjaya mereka.

Sementara itu, Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Malaysia, Fauzura Mat Yusoff berkata, inisiatif itu jika dilaksanakan mampu memberi ruang kepada golongan wanita untuk mengatur kerjaya dan urusan rumah tangga dengan lebih baik, sekali gus menjadikan mereka lebih produktif.

"Ia adalah situasi menang-menang yang mana wanita yang juga berperanan sebagai ibu dapat melaksanakan kehidupan dengan seimbang, mereka dapat bekerja menambah pendapatan dan pada masa sama memberikan lebih perhatian dan masa untuk keluarga.

"Kalau dilaksanakan, masalah utama berkaitan penjagaan anak-anak dapat dikurangkan walaupun bukan penyelesaian 100 peratus tetapi secara tidak langsung mampu meringankan beban,” kata Fauzura yang juga ibu kepada seorang anak perempuan berusia sembilan tahun.

Pegawai Penerangan di Jabatan Penerangan Negeri Pahang, Zayana Zahira Mohd Isa, 41, berkata, kajian SSPA berhubung tempoh bekerja lebih pendek bagi wanita ialah usaha positif untuk golongan berkeluarga, namun perkara itu bergantung kepada kaedah pelaksanaan supaya tidak menjejaskan produktiviti pekerja.

"Saya cadangkan jadual penggiliran kerana ramai wanita yang bekerja di pejabat. Kalau semua balik awal atau tempoh masa kerja dipendekkan, boleh menjejaskan perkhidmatan di tempat kerja,” katanya. - Bernama


Dasar TVET negara sediakan tenaga kerja bidang berketerampilan pasaran negara

Dalam perkembangan berasingan, Dasar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara yang akan dilancarkan pada Jun ini, mempunyai matlamat penting untuk menyediakan tenaga kerja berketerampilan bagi keperluan pasaran tenaga negara dalam bidang teknologi baharu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dasar itu yang memperlihatkan pelan hala tuju hingga 2050, sebagai dasar yang komprehensif kerana bukan hanya menyelaras 1,345 institusi TVET, tetapi juga melibatkan penyediaan dan pengukuhan kursus berasaskan teknologi tinggi bagi tujuan berkenaan.

"Kita mesti keluar daripada kepompong hanya menyediakan tenaga mahir dalam bidang (seperti) jahitan atau pendandanan rambut... (kursus) itu boleh diteruskan tetapi pasaran tenaga kerja memerlukan tenaga mahir dalam (bidang seperti) teknologi kecerdasan buatan (AI), tenaga solar, kenderaan elektrik, komunikasi dan hidrogen.

"Jadi perkara ini, penyediaan tenaga kerjanya kita perlu bermula dari sekarang supaya tidak berlaku ketakpadanan dari segi pendidikan tinggi atau pengajian profesional tidak dapat memenuhi kehendak pasaran (tenaga kerja bidang berkenaan)," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Bangunan Parlimen di sini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berharap dasar itu dapat mengubah persepsi segelintir masyarakat khususnya ibu bapa yang melihat TVET sebagai pilihan kedua, sedangkan potensi bidang berkenaan sangat besar termasuk kebolehpasaran siswazah bidang itu kini pada tahap 92.7 peratus.

Lepasan TVET juga berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi termasuk di Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) seperti Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

"Pandangan segelintir ibu bapa (TVET sebagai pilihan kedua) tidak tepat dan insya-ALLAH melalui Dasar TVET Negara, kita berharap ia akan memberi kesedaran. Tanggapan ibu bapa ini juga akan diperbetul melalui testimoni mereka yang telah berjaya melalui TVET, yang seharusnya dijadikan ikon untuk berkongsi kisah kejayaan yang dicapai," katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa lulusan TVET seharusnya mempunyai gaji premium berdasarkan kategori latihan diberikan berbanding gaji minimum RM1,500 pada masa ini, dengan faktor gaji tinggi itu dilihat dapat menggalakkan ibu bapa menyokong minat anak dalam bidang TVET.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mahu melihat lebih ramai masyarakat Orang Asli terlibat dengan TVET, dan keutamaan diberikan pada bidang yang diminati mereka dan bersesuaian, sebagai usaha meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat itu menerusi pendidikan.

"Kemasukan institusi TVET yang dibuat melalui satu sistem permohonan bermula Oktober lepas memberi peluang kepada pemohon untuk memilih lima bidang dan institusi pilihan mereka. Jika institusi (pilihan pertama) penuh, maka secara automatik diberikan pilihan seterusnya.

"Kita pastikan mereka ini dapat ke institusi TVET dan tidak ada seorang pun tercicir. Kita memberi peluang di TVET walaupun tiada sijil akademik kerana yang penting menjadikan mereka sebagai tenaga teknikal berkemahiran semasa berada di institusi TVET," katanya. - Bernama