KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain yakin penyerang baharunya, Dominique Da Sylva mampu mempamerkan aksi berbisa dan menyinar dalam arena Liga Malaysia (Liga M).
Keyakinan itu bersandar kepada prestasi pemain berkenaan yang semakin baik pada sesi latihan dan beberapa siri perlawanan persahabatan antara skuad Penyu dan beberapa pasukan lain.
Beliau berkata, meskipun Da Sylva belum pernah beraksi dalam Liga M, pemain berusia 30 tahun itu telah mula menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan dan diyakini mampu menggalas tugas berat sebagai penyerang utama pasukan TFC.
"Da Sylva dari segi tahap kecergasan dan kombinasi dengan pemain lain prestasinya sudah semakin baik berbanding hari pertama beliau menjalani latihan.
"Saya yakin dengan kerja keras, beliau dan juga pemain lain yang saya ambil untuk bersama skuad musim ini mampu menyinar dalam Liga M dan memberi sesuatu untuk pasukan selepas ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan dengan pasukan Kelantan United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini malam tadi.
Da Sylva dipilih sebagai penyerang import baharu TFC bagi menggantikan Kipre Tchetche yang berhijrah ke Kedah untuk musim 2020 ini.
Pada perlawanan itu, TFC berjaya menewaskan juara Liga M3 2019, Kelantan United 2-1.
Dalam pada itu, Nafuzi berkata, pasukannya akan melalui tiga lagi perlawanan persahabatan di Lembah Klang untuk memperkemas aspek kecergasan dan persefahaman pemain.
"Di Lembah Klang, kita akan berdepan dengan pasukan Liga Perdana, Kuala Lumpur; wakil Singapura, Hougang United FC dan juara Liga Kemboja, Svay Rieng FC.
"Kita juga telah merangka jelajah ke Bangkok, Thailand pada awal bulan hadapan sebelum Liga Super 2020 yang dijadual pada hujung Februari," katanya yang masih belum membentuk pasukan lengkap TFC. - Bernama