Cuaca panas jejaskan tangkapan ikan

Iklan
Nelayan melakukan persiapan turun ke laut.

KUALA PERLIS - Keadaan cuaca tanpa hujan dalam tempoh hampir sebulan didakwa menjejaskan tangkapan ikan yang menjadi sumber pendapatan utama nelayan di Perlis.

Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan-Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) Perlis, Musa Safar berkata, keadaan itu turut menyebabkan rata-rata nelayan beralih arah kepada pekerjaan lain dan tidak lagi menjadikan rutin ke laut sebagai pekerjaan utama.

Iklan
Iklan

"Kemerosotan hasil perikanan berlaku sejak dua bulan lalu menyebabkan pendapatan kami terjejas sehinggakan jumlah nelayan sekitar Kuala Perlis berjumlah 1,600 sebelum ini hanya tinggal 200 orang.

"Dulu sebuah bot nelayan mampu memperoleh pendapatan sekitar 200kg ikan tetapi sekarang nak dapat 15kg ikan setiap kali turun ke laut pun sangat susah," katanya ketika ditemui di pelantar ikan Kampung Bahagia di sini hari ini.

Iklan
Musa Safar

Menurutnya, hasil diperoleh juga tidak membantu meningkatkan pendapatan nelayan kerana kos minyak didakwa melebihi kos pendapatan.

"Ada dalam kalangan yang masih ke laut sudah pun mengambil inisiatif untuk menumpang bot rakan yang lain kerana mereka sudah tidak mampu menampung kos minyak disebabkan sumber ikan diperoleh tidak berbaloi," katanya.

Iklan

Sementara itu seorang nelayan, Alias Harun, 48, berkata, keadaan cuaca yang panas turut menyebabkan sungai di kawasan pelantar menjadi kering sehingga memberi halangan kepada pergerakan bot.

"Kadang-kadang tu jam 6 pagi lepas Subuh kita dah siap-siap ada di pelantar nak turun ke laut tapi bot tak boleh nak bergerak sebab air sungai tak ada.

"Jadi, kami harap kerajaan dapat mendalamkan sungai bagi memastikan pergerakan nelayan lebih lancar pada awal pagi kerana hanya akan boleh ke laut selepas air sungai naik kira-kira jam 10 hingga 11 pagi," katanya.

Alias Harun

Bagaimanapun katanya, sekiranya langkah tersebut diambil kerajaan dalam keadaan cuaca sedia ada, ia turut tidak membantu golongan nelayan yang berdepan masalah mendapatkan hasil laut seeprti sebelumnya.

"Sumber ikan di laut seperti berkurangan sehingga pendapatan kami sangat merudum sejak kebelakangan ini," katanya.

Air sungai susut akibat cuaca panas.