SUNGAI PETANI - Kerajaan negeri sedang berusaha mencari penyelesaian terbaik berhubung isu tunggakan gaji kakitangan Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) yang didakwa tidak dibayar sejak September lalu.
Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, perkara itu telah dilihat dan sedang diteliti.
"Kerajaan negeri telah melihat perkara ini dan akan menyelesaikan sebaiknya, dengan kata lain Insya-ALLAH kerajaan negeri mengambil pendekatan yang sangat berhemah, memahami dan menyantuni.
"Kita tahu perayaan pun tidak lama lagi...Insya-ALLAH dalam masa terdekat ini penyelesaian terbaik akan diberikan oleh kerajaan negeri kepada warga kerja Kedah Agro yang terlibat," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan media berhubung isu tunggakan gaji kakitangan KAHB yang kemungkinan berisiko sehingga menjejaskan pelaburan di Kedah.
"Dalam konteks pelaburan Alhamdulillah kita mencatatkan perkembangan positif pada 2023 yang berakhir Disember lalu telah merekodkan pelaburan sebanyak RM28.7 bilion,"jelasnya.
Haim Hilman hadir ke Majlis Iftar Ramadan Perdana dan Penyampaian sumbangan bersama anak yatim dan asnaf di Mydin Taman Batik di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Urusan Mydin Wilayah Utara, Datuk Dr Saduruddin Gulam Husen dan Pengarah Eksekutif Mydin Wilayah Utara, Azmin Saduruddin.
Seramai 63 anak yatim dan asnaf diberi peluang memilih baju raya dan berbuka puasa dengan pelbagai juadah disediakan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia telah mengeluarkan notis kepada KAHB berhubung tunggakan gaji 24 pekerja sejak September.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, notis itu dikeluarkan pada Januari lalu dan mereka telah berjanji memohon bantuan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin.