GERIK - Tindakan sekumpulan individu tidak bertanggungjawab menggunakan bom ikan di Sungai Singor di dalam Hutan Simpan Temengor di sini bakal menjejaskan pendapatan penduduk setempat.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengusaha Tasik Temengor, Mohd Bukhary Zakaria berkata, sungai tersebut merupakan lokasi penting bagi pemancing kerana kawasan tersebut menjadi tumpuan terutama pada hujung minggu.
Menurutnya, disebabkan itu, ramai pengusaha bot yang menawarkan perkhidmatan mereka membawa pemancing ke kawasan berkenaan sekali gus menjana pendapatan penduduk setempat.
"Sebelum ini dianggarkan lebih 50 orang seminggu yang datang ke kawasan ini untuk memancing, namun selepas tular kejadian bom ikan, ramai pemancing yang mula ragu-ragu untuk ke kawasan ini dan ada yang mempertimbangkan untuk membatalkan sewaan bot kerana mahu menukar tempat ke lokasi lain.
"Orang tempatan tak akan bom ikan di kawasan ini sebab ia sebahagian punca pendapatan bukan sahaja pengusaha bot tetapi masyarakat Orang Asli di sekitarnya," katanya kepada ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Mohd Bukhary yang juga pemandu pelancong amat kesal dan mengambil serius terhadap tindakan dilakukan pihak tertentu menggunakan bom ikan di sungai berkenaan.
Menurutnya, disebabkan rasa terancam, satu laporan polis juga telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik pada Rabu bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap perbuatan tersebut.
"Kami bagi pihak Persatuan Pengusaha Tasik Temenggor mengharapkan pihak berkuasa bertindak dengan secepat mungkin kerana ia melibatkan pintu rezeki kami terancam.
"Kita buat laporan polis bukan atas desakan mana-mana pihak tetapi mahu menjaga kebajikan kami sebagai pengusaha kerana tindakan tersebut menjejaskan kami sebagai pengusaha," katanya.
Media melaporkan pihak polis menyerahkan siasatan berhubung kes sekumpulan individu yang didakwa mengebom dan merenjat elektrik ikan kelah di Sungai Singor, Hutan Simpan Temengor, di sini kepada Jabatan Perhutanan serta Jabatan Perikanan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya ada mengesan video tular di media sosial berkaitan aktiviti penangkapan ikan yang disyaki menggunakan bahan letupan berkenaan.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan sekumpulan lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan mengebom ikan apabila beberapa bangkai haiwan itu ditemui di sekitar kawasan sungai dalam hutan.
Kejadian itu disedari seorang pemancing dikenali Faizal bersama lapan rakannya yang datang ke kawasan hutan itu untuk memancing dan beriadah.
Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki menunjukkan hasil tangkapan ikan seperti kelah, tengas dan lampam yang banyak di satu kawasan sungai dalam hutan.
Berikutan itu, Jabatan Perikanan menyiasat aktiviti tular itu yang dikatakan menangkap ikan dengan cara yang salah dan mencurigakan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28