Pasangan kekasih diberkas terlibat edar dadah

Iklan
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bercakap dalam sesi sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada Jumaat.Foto Bernama

SUNGAI BULOH - Pasangan kekasih antara empat individu ditahan dipercayai terlibat kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan berasingan sekitar Subang Jaya dan Seri Kembangan pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi kira-kira jam 10.30 malam itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Iklan
Iklan

"Polis menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia dinaiki dua individu dipercayai kekasih di kawasan Subang Jaya.

"Tangkapan kemudiannya membawa kepada rampasan satu ketulan ganja dengan berat satu kilogram, 100 biji eramin 5 dan enam botol kodein," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di sini pada Jumaat.

"Siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada serbuan sebuah rumah di Seri Kembangan dan menahan dua lelaki tempatan dipercayai turut terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Iklan

"Selain itu, pemeriksaan dijalankan turut merampas 31 paket ketulan dan leraian ganja dengan berat 8.2 kilogram, 73 biji pil eramin 5 dan sebotol cecair kodein seberat 2,000 mililiter," katanya.

Katanya, semakan mendapati seorang daripada empat suspek yang diberkas memiliki rekod lampau berkaitan dadah.

"Selain itu, saringan mendapati dua suspek positif dadah.

"Sitaan turut dijalankan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS150R dan sebuah telefon pintar," katanya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kesemua suspek kini direman tujuh hari bagi siasatan lanjut berhubung kes ini," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28