GOMBAK - Kegiatan bengkel kenderaan beroperasi secara haram dengan membeli dan meleraikan kenderaan serta menjual semula komponennya di pasaran, terbongkar menerusi serbuan di sekitar kawasan Gombak pada Khamis.
Bengkel beroperasi atas tanah lapang selain terletak tepi bukit itu dipercayai didirikan secara tidak sah sejak lima tahun lalu.
Ketua Penolong Pengarah D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk CS Shanmugamoorty berkata, dalam serbuan di bengkel haram dipercayai beroperasi sejak 2019 itu, pihaknya telah menangkap pemilik bengkel terbabit yang merupakan seorang lelaki tempatan berumur 51 tahun.
"Siasatan mendapati perniagaan ini dipercayai bermodalkan sebanyak RM20,000 dengan keuntungan diperolehi setiap tahun dianggarkan RM150,000 hingga RM200,000.
"Jika dikira selama enam tahun beroperasi secara haram, jumlah secara kasar adalah RM1.2 juta.
"Jika disemak di Pejabat Tanah, sewaan bagi setiap bulan tanah tersebut adalah RM8,000 sebulan dan anggaran enam tahun ia beroperasi dipercayai tunggakan sewa hampir RM576,000," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya, siasatan mendapati suspek membeli semua kenderaan terpakai untuk dileraikan, selain turut membeli kenderaan terlibat kemalangan, lari daripada bayaran bulanan dan kereta ditinggalkan.
"Kenderaan kemudiannya dileraikan sebelum dijual komponennya kepada kedai alat ganti kereta atau mana-mana individu," katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946, Seksyen 413 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).
Sementara itu jelasnya, operasi sama turut melibatkan serbuan sebuah bengkel di lokasi berdekatan.
"Operasi dijalankan kemudiannya menahan tiga warga asing yang bekerja di bengkel terbabit.
"Pemeriksaan mendapati kesemua suspek tidak memiliki sebarang dokumen sah dan disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28