SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia menyasarkan 30,000 tenaga pengajar bertauliah berkhidmat dalam sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara menjelang tahun hadapan.
Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, setakat ini negara mempunyai kira-kira 24,000 tenaga pengajar dalam bidang itu.
"Walaupun kita sasar hasilkan 30,000 tenaga pengajar TVET bertauliah tahun depan, sebenarnya ia masih belum cukup bagi memenuhi keperluan bidang itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bersempena hari pendaftaran pelajar baharu Sijil Pengajar Vokasional (VTO) di Pusat Latihan dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, kementerian berharap CIAST akan terus berusaha meningkatkan pengeluaran tenaga pengajar terlatih.
Menurutnya sejak ditubuhkan 36 tahun lepas, CIAST selaku institut latihan pengajar kemahiran yang bernaung di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran kementerian berkenaan, telah melahirkan 16,878 tenaga pengajar terlatih setakat Disember lalu.
Sementara itu, Mahfuz menasihati bakal guru TVET agar membetulkan niat masing-masing dengan menjadikan peluang mengikuti latihan mengajar di institusi latihan kemahiran tersebut untuk membantu pembangunan sektor berkenaan.
"Bagi saya, mereka (pelajar baharu) harus menentukan niat mereka iaitu mahu menjadi guru dan bukan sekadar niat nak kerja sebagai guru.
"Kedua-dua perkara ini berbeza sebab kalau niat nak kerja guru biasanya pelajar akan fikir tentang pendapatan menyebabkan apabila tiada kerja lain, mereka akan pilih bidang ini.
"Disebabkan peranan mereka sangat penting, saya harap golongan pelajar baharu ini harus ada niat untuk menjadi guru dan sentiasa bersedia membangunkan ilmu serta kemahiran kerana merekalah pemacu masa depan masyarakat kita,” katanya.
Pada masa sama, pelatih pengajar di institusi latihan kemahiran, sama ada milik kerajaan mahupun swasta, mempunyai kebolehpasaran yang tinggi dengan kira-kira 90 peratus berjaya mendapatkan pekerjaan.
Mengulas perkembangan lain, Mahfuz berkata sejak dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kadar gaji minimum baharu.
Maklum balas menunjukkan majikan menerima pakai kadar baharu yang ditetapkan kerajaan itu, katanya. - Bernama