KUALA LUMPUR - Terdapat sembilan kebimbangan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengenai risiko dan cabaran kecerdasan buatan (AI).
Presidennya, Profesor Emeritus Datuk Dr Marimutu Nadason berkata, kerajaan perlu mengawal selia daripada perspektif hak pengguna bagi melindungi pengguna daripada kesan AI.
Menurutnya, suara pengguna harus didengari kerana ia menjadi tanggungjawab bersama antara kerajaan, perniagaan dan pengguna dalam memastikan penyediaan sistem AI yang wajar dan bertanggungjawab.
"Pertama terdapat kesilapan dan kandungan data yang tidak tepat yang dihasilkannya mungkin kelihatan meyakinkan dan betul tetapi boleh jadi tidak betul dari segi fakta,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Marimutu berkata, ini termasuklah imej, teks atau rakaman suara yang diubah menggunakan teknologi AI akan menghakis kepercayaan pengguna kerana pengguna tidak dapat membezakannya sama ada yang nyata atau yang telah diubah.
"AI dalam pengiklanan pula menjadikannya lebih mudah untuk memanipulasi orang awam melalui penciptaan pengiklanan yang bersifat peribadi.
"Model AI yang dilatih untuk berat sebelah dan diskriminasi dengan sejumlah besar maklumat daripada internet. Perkara ini akan menjana kandungan yang cenderung bersifat berat sebelah dan negatif atau tidak diingini,” katanya.
Tambahnya, sistem AI yang kurang perlindungan privasi, data dan langkah keselamatan menjadikan sistem AI terdedah kepada pencabulan maklumat data yang berpotensi dengan pendedahan maklumat pengguna yang sensitif atau mengakibatkan pihak yang tidak bertanggungjawab dapat mengakses data tanpa kebenaran.
"AI juga bakal membawa isu keselamatan yang rentan dan penipuan oleh mereka yang berniat jahat akan menambahkan lagi atau meningkatkan aktiviti jenayah dan haram di Malaysia.
"Penggunaan tenaga dan air secara eksponen untuk pembangunan teknologi AI akan memberikan kesan negatif yang teruk terhadap alam sekitar, dan mengakibatkan jejak karbon yang tinggi,”katanya.
Jelasnya, pada 2021, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menerbitkan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Kebangsaan Malaysia 2021 hingga 2025.
"Menteri juga telah menyatakan bahawa terdapat rancangan untuk menggubal Rang Undang-undang AI yang komprehensif melalui rundingan bersama dengan pakar teknologi, perundangan profesional, pihak berkepentingan, dan orang ramai.
"Usaha perundangan ini direka untuk mencapai keseimbangan antara mengurus potensi risiko dan memupuk inovasi, sambil memastikan AI terus memberi sumbangan positif kepada ekonomi dan masyarakat,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28