KUALA NERUS - Biarpun berdepan kenaikan kos barangan mentah, peniaga bazar Ramadan di sekitar daerah ini tidak menjual makanan pada harga mahal selain tetap mengekalkan harga yang sama seperti tahun sebelum ini.
Peniaga roti john, Shukri Abdul Ghani, 27, berkata, kualiti dan rasa roti john yang dijual masih dikekalkan walaupun terkesan dengan kenaikan harga barang tidak menentu dalam pasaran.
"Harga roti john daging kita masih kekalkan harga yang sama seperti tahun lepas iaitu RM6 disebabkan ia mendapat sambutan.
"Cuma berlaku kenaikan sedikit sahaja bagi roti john ayam iaitu sebanyak RM1.
"Pada tahun lepas kita jual roti john ayam pada harga RM5 tetapi kali ini dijual pada harga RM6.
"Kita naikkan sedikit harga sebab berlaku kenaikan harga isi ayam yang dijual sebanyak RM23 bagi dua kilogram (kg) berbanding tahun lepas yang hanya dijual pada harga RM16.
"Jadi kita terpaksa naikkan sedikit harga, namun ia tidak terlalu tinggi sebab ambil kira faktor pelanggan pun ramai terkesan dalam keadaan ekonomi sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di bazar Ramadan di sini baru-baru ini.
Sementara itu, peniaga murtabak, Zain Ali, 55, berkata, beliau tidak menaikkan harga jualannya kerana mengetahui ramai pelanggan yang datang membeli terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan penduduk kampung.
"Saya tetap jual harga murtabak ayam dan daging pada harga RM5.
"Tidak menaikkan harga dan masih kekalkan harga sama seperti tahun lepas.
"Ini kerana saya tidak mahu membebankan pelanggan meskipun saya sendiri sebagai peniaga turut terbeban dengan kenaikan harga bawang yang dijual pada harga RM40 bagi 2kg hingga 3kg," jelasnya.
Selain itu, peniaga ayam golek, Amran Ismail, 56, berkata, beliau terbeban dengan peningkatan harga barangan asas terutama ayam namun tetap menjual ayam golek pada harga berpatutan kepada pelanggan.
"Saya masih jual harga ayam golek sebanyak RM28 seekor dan tidak tergamak nak naikkan sehingga RM30 walaupun saya juga terkesan dengan harga barang.
"Ini melibatkan kenaikan kos harga bahan mentah seperti ayam sebanyak RM8.60 per kilogram selain kenaikan harga arang yang mendadak.
"Pada tahun lepas, harga arang hanya dijual RM27, namun kini harga arang dijual mencecah RM45 bagi satu guni.
"Memang terkesan tetapi kita tak sampai hati nak naikkan harga lagi sebab tahu ada pelanggan yang juga terkesan.
"Walaupun dapat untung sedikit tetapi niat kita nak jual ayam golek yang berkualiti dan mampu dibeli oleh pelanggan," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28