22 anggota polis Terengganu dikesan terlibat dadah

Iklan
Roslan

KUALA TERENGGANU -"Sebelum 'bersihkan' orang lain, lebih baik kami bersihkan dalaman kami dahulu," demikian tegas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu berhubung anggota dan pegawainya terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Superintendan Roslan Tahir berkata, seramai 22 anggota termasuk seorang pegawai polis Terengganu dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah menerusi Ops Blue Devil tahun lalu melibatkan pemeriksaan ke atas 2,741 orang sejak JSJN melancarkan operasi berkenaan pada Ogos lepas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua terlibat telah pun dikenakan tindakan tatatertib dengan sebahagian daripadanya sudah didakwa dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

"Ops Blue Devil yang dilancarkan bertujuan membersihkan pasukan daripada gejala najis dadah akan diteruskan pada tahun ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Iklan

Sementara itu, Roslan berkata, JSJN Terengganu merekodkan pencapaian kadar pertuduhan tinggi iaitu 61.47 peratus (5,130) berdasarkan kertas siasatan dibuka sebanyak 8,345 pada tahun lalu dengan penyelesaian kertas siasatan narkotik turut menunjukkan prestasi membanggakan iaitu sebanyak 84 peratus (7,126 kes) pada tahun lalu.

"Dengan kadar pertuduhan dan kadar penyelesaian kes narkotik yang tinggi, kami percaya masyarakat akan terkesan dengan tindakan pihak JSJN, ditambah lagi dengan rampasan dadah yang meningkat berjumlah RM6,352,498.25 berbanding tahun sebelum ini iaitu RM3,398,428.92 dapat menyekat aktiviti pengedaran daripada terus berleluasa.

Iklan

"Sitaan harta-harta pengedar juga meningkat iaitu RM3,765,668.42 berbanding RM1,306,900.86 tahun sebelumnya juga dapat melumpuhkan aktiviti mereka dari segi modal pusingan dan pengangkutan," katanya.

Roslan berkata, pihaknya juga sudah mengambil tindakan mengikut Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi penagih tegar iaitu seramai 109 orang di negeri ini sepanjang tahun lalu.

"Di bawah seksyen itu, jika disabitkan kesalahan individu terbabit dihukum lebih berat iaitu lima hingga tujuh tahun penjara dan tidak melebihi tiga sebatan.

"Jika individu tersebut terlibat lagi selepas menjalani hukuman penjara, dia boleh dituduh mengikut Seksyen 39C (2) yang membawa hukuman tujuh hingga 13 tahun penjara dan tiga hingga enam sebatan, jika disabitkan kesalahan," katanya.

Jelasnya, sebanyak lapan sindiket pengedaran dadah ditumpaskan dengan 19 serbuan dan menangkap 26 individu yang sudah dituduh serta diambil tindakan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

"Selain itu, dengan tertangkapnya seramai 87 pengedar tahun lalu berjaya menyekat aktiviti pengedaran setempat kerana mereka ini telah ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) atau dikenakan sekatan Orang Sekatan (OS)," katanya.