KUALA LUMPUR - Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa tidak terlintas di fikirannya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah seorang penipu yang menghalalkan aktiviti haram untuk menyeleweng wang 1MDB.
Jasmine Loo Ai Swan, 50, berkata, ini berikutan Jho Low sudah meraih jutaan ringgit sebelum penglibatannya dengan 1MDB kerana selain memiliki syarikat UBG Berhad, dia juga memiliki beberapa perniagaan lain dan berurusan dengan beberapa syarikat milik warga Arab.
Saksi pendakwaan ke-50 itu menjawab demikian apabila diminta menjelaskan mengapa dia tidak mempersoalkan AS$9 juta yang dipindahkan ke dalam dua akaun bank Switzerlandnya antara 2012 dan 2013.
"Saya tidak terfikir dia (Jho Low) melakukan ini (menyeleweng wang 1MDB), dia sudah untung berjuta-juta. Itulah apa yang saya percaya," kata Jasmine ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Jasmine juga tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa sebagai ‘orang dalam’ di 1MDB, dia tidak pernah menyedari wang yang digunakan Jho Low secara boros adalah sebahagian daripada wang 1MDB.
"Saya tidak bersetuju. Maksud saya, saya melakukan tugas saya (sebagai peguam am) dan saya tidak bertanggungjawab ke atas urusan kewangan, saya tidak dapat lihat (wang masuk dan keluar dari 1MDB). Saya fikir semuanya adalah transaksi tulen," kata Jasmine.
Terdahulu Muhammad Shafee mencadangkan kepada saksi bahawa Jho Low adalah"penipu, penjahat peringkat tertinggi", namun Jasmine tidak mempunyai masalah untuk menerima arahan daripada orang sedemikian.
Jasmine menjawab:"Berdasarkan yang lepas - mungkin, tetapi saya tidak tahu sama ada beberapa perkara yang dia katakan adalah palsu".
Muhammad Shafee: Adakah terdapat karekter Jho Low dalam konteks perbicaraan ini yang mempunyai nilai-nilai penyesalan?
Jasmine: Mungkin tidak, tetapi kita tidak boleh menilai karekternya secara umum begitu.
Muhammad Shafee: Kenapa tidak? Karekter anak guam saya dinilai secara umum begitu dan kebebasannya sedang dipertaruhkan. Kebebasan Jho Low tidak. Dia mungkin sedang bersantai entah di mana-mana pantai ketika ini.
Selain itu Jasmine turut memberi keterangan bahawa dia telah pergi ke Shanghai untuk bertemu Jho Low dan sempat berbincang mengenai penyelesaian berhubung dengan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.
Saksi itu juga menafikan bahawa beliau telah berunding dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak pendakwaan sebagai ganti bagi menggugurkan dua pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya di negara ini.
Pada 2018 Jasmine didakwa in absentia (tanpa kehadiran) di mahkamah kerana didakwa melakukan pengubahan wang haram berjumlah US$5.99 juta.
Ditanya apa yang berlaku kepada kes itu, Jasmine berkata, ia bukan di bawah kawalannya dan dia menyerahkan perkara itu kepada peguamnya.
Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya (sebagai perdana menteri) untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 1 April. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!