SHAH ALAM - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel terhadap pusat pengagihan makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Rafah, Gaza pada 13 Mac lalu hingga mengakibatkan sekurang-kurangnya satu kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) terbunuh serta 22 lagi mengalami kecederaan.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, serangan yang disengajakan terhadap fasiliti, konvoi dan kakitangan PBB adalah pengabaian terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Justeru menurutnya, gencatan senjata serta-merta perlu dilakukan bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang tidak bersalah selain memastikan akses bantuan kemanusiaan seperti keperluan asasi, makanan dan ubat-ubatan diberikan tanpa halangan, mencukupi serta selamat sampai di seluruh Gaza.
"UNRWA adalah agensi yang melindungi jutaan rakyat Palestin dan serangan berkenaan adalah menyalahi undang-undang serta tidak berperikemanusiaan.
"Sejak tercetusnya konflik, sekurang-kurangnya 165 ahli pasukan UNRWA terbunuh termasuk mereka yang sedang menjalankan tugas.
Sebelum ini, media melaporkan Israel mendakwa serangan udara ke atas pusat pengedaran makanan PBB membunuh seorang komander Hamas yang disasarkannya dan empat lagi termasuk satu pekerja PBB.
Tentera Israel berkata, serangan terbabit membunuh Mohammad Abu Hasna iaitu individu yang dikatakan memberi risikan kepada kumpulan itu mengenai kedudukan tentera Israel dan terlibat dalam mengawal bantuan kemanusiaan serta mengagihkannya kepada Hamas.
Bagaimanapun, Wisma Putra memaklumkan, keganasan melampau dibuat rejim Zionis itu mesti dihentikan dengan segera kerana kegagalan masyarakat antarabangsa untuk bertindak akan menyebabkan berlakunya kehilangan lebih ramai nyawa dan menambahkan lagi penderitaan rakyat Palestin.
"Semua negara perlu menjalankan tanggungjawab mereka dari segi kemanusiaan, etika dan undang-undang kepada rakyat Palestin terutamanya ketika di bulan Ramadan yang mulia ini.
"Malaysia tetap berpegang teguh dengan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28