KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga pemilik syarikat termasuk dua berpangkat Datuk kerana disyaki memberi rasuah kepada penjawat awam.
Menurut sumber, tindakan reman itu dilaksanakan SPRM ekoran suapan diberikan dengan tujuan agar penjawat awam terbabit tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti penyeludupan tembakau, rokok serta arak melalui pintu masuk negara.
Sumber berkata, perintah reman selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad ini ke atas suspek pertama, manakala bagi suspek kedua dan ketiga yang bergelar Datuk mendapat perintah reman selama satu hari pada Jumaat.
"Reman dikeluarkan oleh Majistret Khairunnisa Kasa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada hari ini (Jumaat).
"Ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai ditahan semalam (Khamis) kira-kira jam 11.30 malam di pejabat SPRM Putrajaya ketika diminta hadir memberi keterangan," katanya pada Jumaat.
Sumber berkata, kesemua suspek tersebut ditahan dan direman susulan daripada operasi khas yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Isnin lalu.
Menurutnya, mereka yang ditahan dipercayai memberi wang rasuah kepada penjawat awam terlibat dan perbuatan itu telah dilakukan sejak 2018 hingga 2023.
Susulan operasi khas tersebut, katanya, AML SPRM turut menyita pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komputer riba, komputer, wang tunai, rumah serta beberapa buah kereta mewah.
Tambahnya lagi, sindiket itu dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.
Sementara itu menurutnya, SPRM turut mendapat kebenaran untuk menyambung reman dua lagi suspek yang telah ditahan pada Isnin dan Selasa lalu berhubung kes yang sama.
"Perintah reman selama satu hari bermula hari ini (Jumaat) dikenakan terhadap kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 30-an dan 40-an.
"Ia dikeluarkan oleh Majistret Khairunnisa Kasa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tiga suspek tersebut.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.