PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan (MOT) sedia meneliti permohonan rayuan Kelantan agar bas pelancong Thailand dibenar memasuki Malaysia melalui empat negeri bersempadan dengan negara Gajah Putih itu.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kelantan boleh mengemukakan permohonan kepada MOT untuk pertimbangan.
"Tetapi ada pelbagai isu teknikal yang perlu diatasi termasuklah dari segi perlesenan dan pemandu dan sebagainya.
"Jadi itu perlu dikaji dengan mendalam sebelum sesuatu dasar itu diubah," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan kontrak Pay As Use bagi lokomotif dan wagon antara Perbadanan Aset Kereta api (RAC) dan SMH Rail Sdn Bhd di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis akan mengemukakan rayuan kepada MOT supaya membenarkan bas pelancong negara jiran itu masuk ke negeri-negeri berkenaan.
Terdahulu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, permohonan itu bertujuan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan merancakkan lagi ekonomi di negeri-negeri sempadan.
Dakwanya, agensi pelancongan di negara jiran tersebut berdepan masalah peraturan di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkait larangan terhadap bas pelancong luar.
Sementara itu dalam ucapannya, Anthony berkata, sebanyak 60 peratus daripada 1,475 penyewa aset RAC adalah terdiri daripada kalangan bumiputera.
Katanya RAC yang merupakan sebuah agensi di bawah MOT sentiasa memberi tumpuan untuk memperkasa golongan Bumiputera dan pada masa tidak mengetepikan golongan bukan Bumiputera, dalam usaha merapatkan jurang ekonomi.
"Sehubungan itu, saya amat berharap agar lebih banyak syarikat swasta industri rel akan tampil membantu kerajaan memperkasa sektor ini selaras dengan aspirasi MOT menerusi pendekatan Road to Rail yang diterjemahkan dalam Dasar Pengangkutan Negara 2030," katanya.
TAMAT
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28