CYBERJAYA - Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menjalin kerjasama dengan Cyberview Resort and Spa bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu golongan tidak bernasib baik sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Ketua Pemasaran dan Komunikasi Jenamanya, Hussain Karim Ally berkata, menerusi kempen Mydin Prihatin, hampir 30 anak yatim dan 70 warga emas diraikan dengan memberi sumbangan makanan dan barangan keperluan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, perkongsian rezeki itu turut disokong oleh beberapa jenama pembekal Mydin.
"Sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban kepada golongan yang memerlukan.
"Ini merupakan penghargaan pihak Mydin kepada orang ramai yang selama ini telah menyokong kami dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa Sentuhan Kasih Ramadan di Cyberview Resort and Spa, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, menurut Hussain Karim, selain memberi sumbangan, pihak Mydin juga turut bersama-sama meluangkan masa untuk menyantuni golongan tidak bernasib baik sepanjang bulan mulia ini.
Tambah beliau, program itu akan diteruskan di masa akan datang bersama kolaborasi dengan syarikat korporat yang lain.
"Majlis berbuka puasa adalah masa yang tepat untuk meraikan mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Pengarah Sumber Manusia Cyberview Resort and Spa, Setiawa Amat Dollah, kolaborasi bersama organisasi korporat perlu diperluas bagi membantu golongan sasar dengan lebih baik.
Jelasnya, menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu juga bukan hanya memberi sumbangan semata-mata, tetapi juga memahami keadaan semasa mereka yang serba kekurangan.
"Walaupun kerjasama dengan pihak Mydin adalah pertama kali, namun matlamat untuk meraikan anak-anak yatim dan warga emas pada hari ini berjaya mengukir senyuman mereka kembali.
"Kami berharap program CSR ini akan diteruskan di masa akan datang bersama badan korporat yang lain,” katanya.