SHAH ALAM - Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) pada tahun 2024 selari dengan matlamat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam menggerakkan agenda besar kepenggunaan responsif dengan tuntutan semasa dan cabaran mendatang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sambutan HPK diadakan pada 15 Mac setiap tahun dan kali ini bertemakan Kuasa Pengguna: Mendepani Realiti Zaman.
Katanya, pemilihan tema ini bertepatan dengan peralihan kepada era Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital yang berpaksikan kepada pelbagai jenis teknologi seperti Generasi Kelima (5G), Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence).
"Antara objektif penganjuran Hari Pengguna Kebangsaan 2024 adalah untuk merancakkan lagi advokasi dan pendidikan berkenaan hak-hak dan perlindungan pengguna daripada pelbagai jenayah siber seperti penipuan dalam talian, phishing, penyalahgunaan rangkaian dan teknologi serta penipuan/pemalsuan perihal dagangan atas talian.
"Program hari ini juga merupakan kesinambungan Program Sesi Libat Urus Prakarsa Pendayaupayaan Pengguna (3P) pada 20 Februari lalu yang telah menyediakan platform kepada para pemegang taruh untuk memberikan maklum balas dan pandangan bagi menambah baik kerangka Dasar Pengguna Negara 2.0 (DPN 2.0) dan Pelan Tindakan Kepenggunaan 2030 (PTK 2030),” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, KPDN yakin dan percaya penglibatan aktif gerakan pengguna dengan memaknai ‘kuasa pengguna’ akan membawa impak besar dalam mewujudkan ikhtiar nasional.
"Ia melalui pendekatan whole of nation dalam merealisasikan matlamat Kerajaan dalam memelihara kepentingan pengguna dan menyantuni isu kos sara hidup rakyat," jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!