SHAH ALAM - Sebanyak 50 insiden melibatkan perkauman, diskriminasi kaum atau xenofobia dikenal pasti berlaku pada tahun 2023.
Menurut laporan Perkauman Malaysia 2023, daripada 50 kejadian itu, politik perkauman atau agama merupakan kes tertinggi iaitu sebanyak 31.4 peratus manakala ungkapan prejudis, provokasi, hasutan kaum atau agama pula menyumbang sebanyak 17.6 peratus.
"Jumlah insiden perkauman, diskriminasi kaum dan xenofobia secara keseluruhan menurun pada 2023 berbanding tahun 2022 iaitu 82 insiden.
"Bagi insiden berkaitan politik perkauman atau agama yang melibatkan ahli politik dari kedua-dua belah pihak merekodkan 15 insiden pada tahun lepas," ujarnya menerusi laporan yang disediakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Pusat Komas.
Tambah laporan itu, ia membabitkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
"Ahli politik sering memanipulasi ketegangan kaum dan agama untuk mengekalkan kuasa. Tanggapan kuno 'mengundi untuk bangsa kita supaya mereka mengutamakan keperluan kita' sudah mendalam ditanam.
"Tambahan pula, ketakutan adalah strategi biasa yang digunakan oleh ahli politik untuk mengekalkan pengikut dalam parti mereka dan mengalihkan pengikut dari lawan politik mereka dengan mengelirukan," jelasnya.
Tambah laporan tersebut, sepanjang sembilan tahun lalu, insiden berkaitan politik perkauman atau agama terus berlaku dan menguasai di Malaysia.
"Selain itu, walaupun jumlah insiden perkauman, diskriminasi kaum dan xenofobia dilaporkan semakin rendah namun ia berterusan berlaku," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!