Kelas padat: Ibu bapa bimbang guru tidak dapat beri perhatian penuh

Iklan
Foto hiasan.

SHAH ALAM - Keadaan kelas yang terlalu padat menyebabkan sebilangan ibu bapa bimbang guru tidak dapat memberi sepenuh perhatian kepada pelajar, bahkan mungkin tidak mengenali satu sama lain anak murid mereka.

Suri rumah, Mastura Abdul Razak, 34, berkata, situasi berkenaan sudah dapat dilihat sekarang ketika pihak sekolah menganjurkan perjumpaan bersama ibu-bapa dan guru-guru.

Iklan
Iklan

"Penilaian guru-guru terhadap anak murid pun mungkin tidak tepat kerana sekarang ini tiada lagi peperiksaan dijalankan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, anak sulungnya merupakan murid Tahun Tiga di sebuah sekolah di Sepang dengan kepadatan 47 orang pelajar dalam satu kelas.

Iklan

Bagi seorang pekerja syarikat swasta, Salina Salwani Mohd Ali, 34, pula, walaupun jumlah pelajar mencecah 50 orang, namun dia berpuas hati kerana keadaan kelas anaknya di sebuah sekolah di Cyberjaya masih luas dan selesa.

Malah, dia melihat guru-guru di sekolah anaknya bijak mengendalikan setiap pelajar walaupun bilangan murid luar biasa.

Iklan

"Guru mengajar menggunakan pembesar suara, jadi suara mereka amat jelas dan tidak perlu menjerit-jerit," kata ibu kepada dua anak itu.

Salina Salwani berkata, dari segi keselamatan pula, dia berpuas hati kerana pihak sekolah sangat komited dalam menjaga kebajikan anak-anak, terutamanya pada waktu pagi dan tengah hari sebaik sahaja tamat sesi pembelajaran.

"Setiap hari memang ada petugas Rela menjaga laluan di luar pagar sekolah, begitu juga guru sebelum ibu bapa menjemput anak masing-masing,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28