HAMBURG - Sudah tiba masanya bagi Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) menghidupkan semula perbincangan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan integrasi serantau, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, dengan FTA, Eropah akan dapat memanfaatkan Malaysia sebagai pintu masuk ke Asia.
"Kami akan mempermudahkan FTA. Eropah boleh memanfaatkan dasar pasaran terbuka yang dipermudahkan menerusi FTA ASEAN, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” kata Anwar menerusi ucap tamanya semasa menghadiri acara 101st Ostasiatisches Liebesmahl di Hamburg City Hall, di sini, pada Jumaat.
Ostasiatisches Liebesmahl merupakan salah satu acara tahunan terpenting yang secara tradisinya berlangsung di sini bagi meraikan hubungan negara itu dengan Asia yang biasanya dihadiri tokoh terkemuka dari bidang ekonomi, politik dan diplomasi.
Terdahulu semasa di Berlin, Anwar dan Naib Canselor Jerman Robert Habeck turut berbincang mengenai FTA.
Malaysia sedang menjalankan 'scoping exercise' (menilai dan mengenal pasti risiko) dengan EU untuk menentukan jurang kedudukan dan pendirian Putrajaya dan juga blok bagi FTA yang ditangguhkan sejak 2012.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan turut mengambil peluang untuk membicarakan mengenai kerangka Ekonomi Madani yang mencerminkan komitmen negara untuk memacu Malaysia ke arah menjadi ekonomi utama di Asia serta memacu pembangunan yang mampan dan inklusif.
Beliau berkata, kerangka ekonomi itu membayangkan masyarakat yang berkongsi kemakmuran, mendukung integrasi ASEAN yang lebih kukuh dan ekonomi yang kompleks serta membangunkan Malaysia sebagai kuasa utama serantau.
"Menyokong kerangka ekonomi ini adalah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang bertujuan untuk menggiatkan semula landskap perindustrian Malaysia, memfokuskan pada nilai tambah, pembuatan canggih dan pelaburan berimpak tinggi,” kata beliau.
Manakala Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) pula, kata beliau, adalah perancangan terhadap penjagaan alam sekitar yang menggariskan strategi komprehensif untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Dari segi geopolitik, beliau berkata:"perlu ditekankan bahawa pendirian berkecuali kami menjadikan kami berada di kedudukan yang baik untuk menjalankan perniagaan dan perdagangan dengan Timur dan Barat."
Anwar berkata, selain hubungan kukuh dengan Jerman dan Eropah, Malaysia juga menjalin hubungan baik dengan China, Jepun, Korea, India dan Australia.
Keperluan utama bagi negara-negara di Asia Tenggara, terutamanya Malaysia, adalah pembangunan, perdagangan dan pertumbuhan, kata beliau, sambil menambah bahawa strategi Putrajaya adalah proaktif dan antisipatif dan bukan sebaliknya reaktif dan tidak bersedia.
"Ini mengukuhkan daya tahan kami berdepan dengan cabaran geopolitik yang tidak menentu, membolehkan Malaysia menjadi pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia.
"Ia juga membolehkan Malaysia mengeksport tenaganya tanpa sebarang kebimbangan geopolitik yang tidak wajar,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata, dari segi tenaga, Sarawak adalah negeri yang penting di Malaysia yang mengeksport tenaga ke Nusantara, ibu negara baharu Indonesia serta melalui kabel dasar laut ke Singapura dan ke Semenanjung.
"Justeru, Malaysia bersedia untuk menyokong peralihan tenaga Jerman menerusi gas asli sebagai bahan api peralihan. Ini akan mengimbangi keperluan segera keterjaminan tenaga Jerman dengan matlamat kemampanan jangka panjang," kata beliau.
Anwar tiba di Berlin pada 10 Mac lepas bagi lawatan rasmi selama enam hari ke ekonomi ketiga terbesar dunia itu.
Jerman adalah rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota EU sejak 2000, manakala Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022.
Semasa berada di Berlin, Anwar mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Jerman, Canselor Olaf Scholz selain melakukan kunjungan hormat kepada Presiden Frank-Walter Steinmeier.
Perdana Menteri juga melawat kilang Siemens Energy di Huttenstrabe sebelum bertemu dengan lebih 35 pemimpin industri dan pelabur berpotensi dari Eropah pada mesyuarat meja bulat perniagaan. -Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28