BATU PAHAT - Dua pemandu maut apabila kereta dipandu mereka bertembung di Kilometer (KM) 103 Jalan Johor Bahru-Melaka (Tanjung Labuh) Batu Pahat, Johor, pada malam Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, Balai Polis Senggarang, menerima maklumat daripada orang awam berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 11.40 malam.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 43 tahun dari arah Rengit menghala ke Batu Pahat telah bertembung dengan sebuah lagi Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun yang datang dari arah bertentangan.
"Kereta Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan itu telah memasuki laluan Perodua Myvi yang dipandu wanita berkenaan," katanya.
Beliau berkata, akibat pertembungan tersebut, kedua-dua pemandu yang berasal dari Batu Pahat meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Orang ramai yang melihat kemalangan tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28