PETALING JAYA - Sepasang suami isteri maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan S21/18, Damansara Utama di sini, pada Sabtu.
Mangsa yang maut dikenali Leong Chen Mun, 55, dan Kang Tsi Yam, 61.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sebuah jentera dan pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara serta bantuan BBP Petaling Jaya dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 5.13 pagi.
"Setiba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat yang terbakar di tingkat atas iaitu bahagian bilik tidur utama dan bahagian bawah di dapur.
"Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan seorang remaja berusia 14 tahun dipercayai anak pasangan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ahmad Mukhlis berkata, kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan 70 peratus.
Katanya, unit anjing pengesan (K9) bomba juga berada di lokasi kejadian.
"Bomba masih menjalankan siasatan untuk kenal pasti punca kebakaran," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28