Tiga beranak dipukul kerana selisih faham kerja

Iklan
Tiga beranak cedera dipukul lelaki warga Indonesia di kawasan hentian bas Taman Kosas, Ampang, Rabu lalu. Gambar hiasan

AMPANG - Perselisihan faham berkaitan kerja dipercayai punca tiga beranak cedera dipukul lelaki warga Indonesia di kawasan hentian bas Taman Kosas di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa yang juga warga Indonesia telah didatangi suspek yang membawa sebatang besi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek kemudian bertindak memukul mangsa iaitu pasangan beradik wanita berusia 27 dan 24 tahun serta ibunya berumur 56 tahun sehingga mengalami kecederaan di kepala, muka dan tangan.

"Susulan itu, pada hari kejadian, kira-kira jam 3.45 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menangkap suspek yang juga bekerja sebagai pembantu kedai di Taman Kosas.

Iklan

"Sebatang besi dipercayai diguna suspek dalam kejadian itu turut dirampas," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain ujian air kencing adalah negatif.

Iklan

Tambahnya, suspek berusia 39 tahun itu telah direman empat hari bermula Khamis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.