Rumah pangsa dibanjiri warga asing digempur, 158 PATI ditahan

Iklan
Meor Hezbullah (dua dari kiri) memeriksa dokumen perjalanan milik seorang warga asing dalam serbuan di Rumah Pangsa Bercham dekat Ipoh pada Sabtu.

IPOH -"Ramai sangat warga asing di sini, dah beranak-pinak pun".

Demikian kebimbangan disuarakan penduduk Rumah Pangsa Bercham di sini yang membawa kepada operasi besar-besaran dijalankan Jabatan Imigresen Perak bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Serbuan menerusi Op Pintu bermula jam 12.30 malam itu menyasarkan semua 15 blok kediaman tersebut membabitkan 560 unit rumah.

Penduduk, K Satthiya, 42, berkata, keadaan itu berlaku sejak sekitar lima tahun lepas apabila banyak unit kediaman di situ disewa untuk dijadikan asrama pekerja.

Iklan

Menurutnya, faktor sewa yang murah sekitar RM250 hingga RM450 sebulan serta kedudukan strategik kerana hampir dengan kemudahan asas termasuk pasar raya menjadi penyebab kehadiran warga asing di situ semakin bertambah.

Antara warga asing yang ditahan untuk pemeriksaa dalam serbuan di Rumah Pangsa Bercham dekat Ipoh pada Sabtu.

"Indonesia dan Bangladesh paling ramai di sini, kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh binaan, tukang cuci dan di pasar raya.

Iklan

"Daripada duduk seorang, sekarang mereka dah pun bina keluarga, ada anak-anak kecil juga menjadikan penempatan ini seolah-olah milik komuniti mereka," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Kamal Izham, 30, pula berkata, sejak akhir-akhir ini kerap kali berlaku pergaduhan sesama warga asing di situ hingga mendatangkan kecederaan dan kes kematian.

Katanya, bukan itu sahaja, sikap mereka yang sering mabuk dan gemar keluar rumah tanpa memakai baju menyebabkan penduduk bimbang untuk membiarkan anak-anak keluar bermain di luar rumah.

Pemeriksaan mendapati terdapat warga asing tinggal di kediaman itu tanpa memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di negara ini serta tinggal lebih masa.

"Banyak dah kes gaduh dan cedera melibatkan mereka sampaikan kami terpaksa buat laporan polis. Risau juga bila tinggal anak isteri di rumah," katanya.

Dalam operasi berkenaan, seramai 358 warga asing telah diperiksa melibatkan warga Indonesia, Bangladesh, China, Pakistan, Nepal, India, Sri Lanka, Myanmar dan Vietnam.

Daripada jumlah itu, 158 pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri 93 lelaki, 54 wanita, dan 11 kanak kanak berusia antara 9 hingga 60 tahun telah ditahan kerana tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di negara ini serta tinggal lebih masa.

Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, kawasan perumahan tersebut merupakan salah satu lokasi panas yang berada dalam pemantauan imigresen.

Meor Hezbullah dalam sidang akhbar pada Sabtu.

"Memang kita lihat ramai warga asing di sini, tetapi tidak semuanya tidak memiliki dokumen. Ada kalangan mereka tinggal di negara ini secara sah untuk bekerja.

"Jadi saya harap masyarakat tidak stigma dengan keberadaan warga asing ini.

"Sebaiknya pemilik premis yang nak memberi kebenaran warga asing mendiami rumah mereka untuk pastikan merema ini memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28