GEORGE TOWN - Beberapa kawasan di negeri ini termasuk Balik Pulau dan Bayan Lepas mengalami gangguan bekalan air sejak lewat petang Jumaat.
Susulan itu, laman Facebook Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) ‘diserang’ pengguna media sosial yang tidak berpuas hati dengan insiden itu kerana mendakwa pihak tersebut tidak memberi sebarang notis berhubung gangguan bekalan air.
Menurut mereka, gangguan bekalan air berkenaan amat menyusahkan tambahan pula berlaku pada bulan Ramadan dan ketika musim panas.
"Sampai bila? Asal petang ke tengah malam air 'slow' dan tak ada. Tak kan nak 'membuang' waktu pagi buta. Tolong cari jalan," kata pengguna Facebook yang dikenali sebagai Epul Saiful.
"Musim panas high usage low diameter of temporary pipe at sungai perai = low pressure at Barat daya area," kata Firdaus Yaacob pula.
Kata Akmal Hafiz pula, dia berharap PBAPP segera menangani masalah tersebut berikutan umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada bulan depan.
"Kalau boleh settle la 'maintanance' sebelum raya, serik dah raya tahun lepas ayaq tak dak jenuh angkut kat tanker," keluhnya.
Sementara itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataannya berkata, perkara itu berlaku kerana penggunaan air yang tinggi dan paras air berkurangan menyebabkan rumah pam di sepanjang Sungai Ara, Batu Maung, Teluk Kumbar dan Seberang Perai Selatan terjejas.
"Pengeluaran air PBAPP telah mencapai tahap maksimum, namun disebabkan penggunaan air yang tinggi dan paras air berkurangan, rumah pam di beberapa kawasan telah terjejas.
"Perkara itu mungkin menyebabkan tekanan rendah atau gangguan bekalan air di kawasan Lebuh Relau, Jalan Kelabu, Sungai Ara, Batu Maung, Bayan Lepas, Balik Pulau dan Seberang Perai Selatan," katanya pada Sabtu.
Tambah PBAPP, pihaknya akan mengemas kini status bekalan dari semasa ke semasa.
"Kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang berlaku. Sila guna air dengan bijak," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28