PKR Pahang tidak setuju SPRM dedah rakaman audio

Iklan
Wan Fauzuldin

KUANTAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang mengakui ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju dengan tindakan mendedahkan sembilan rakaman audio yang didakwa konspirasi berprofil tinggi melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan beberapa individu penting, Rabu lalu.

Ketua Komunikasinya, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, pendedahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu tidak sepatutnya dilakukan secara terbuka sebaliknya perlu didedahkan dengan menggunakan platform yang betul seperti di mahkamah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, disebabkan pendedahan rakaman audio itu, ramai dalam kalangan penyokong PH sendiri mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya meletakkan jawatan.

"Kita akui pendedahan itu (rakaman audio) adalah modal besar bagi PH tapi ramai pimpinan PH sendiri merasa tidak senang dengan cara sedemikian.

Iklan

"Jadi, sudah tentu pembangkang lebih lagi Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) seperti biasa mencari dalil bahawa rakaman audio tidak boleh jadi ‘saksi’. Sebenarnya (rakaman audio) bukan boleh dijadikan saksi, tapi sebahagian dari bukti saja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, SPRM mendedahkan sembilan rakaman audio dipercayai perbualan antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan beberapa individu termasuk pemimpin dari Arab Saudi.

Iklan

Pendedahan rakaman berdurasi keseluruhan 45 minit itu dibuat dalam sidang media khas yang dipengerusikan Latheefa.

Dalam sidang media sama turut diperdengarkan perbualan antara Datin Seri Rosmah Mansor dan Najib.

Wan Fauzuldin berkata, walaupun pendedahan itu dilihat menguntungkan PH, namun penyokong PH mahu kerajaan lebih profesional, adil dan berintegriti.

"Mereka yang menentang tindakan SPRM itu dalam kalangan PH hanya mahu sebarang bukti didedahkan perlu dibuat di tempat betul iaitu mahkamah, bukan di media secara terbuka walaupun tindakan itu amat menguntungkan politik PH," katanya.

Menurutnya, berbeza dengan bantahan dibuat oleh pembangkang yang didakwa dilakukan kerana malu dan merasakan moral mereka terjejas sekali gus pandangan rakyat terhadap mereka terhakis.

"Bantahan pembangkang terhadap SPRM berkaitan rakaman perbualan Najib dan Rosmah bukan kerana integriti atau keadilan tetapi disebabkan ‘malu’ sahaja.

"Mereka berasa malu sebab selama ini mempertahankan Najib dan menggelarnya 'Bossku', tiba-tiba dikantoikan SPRM.

"Bagaimana seseorang yang 'wala' kepada isteri boleh dilantik untuk menasihat parti? Ini yang memalukan Barisan Nasional (BN), sebab itu mereka bantah,” katanya.

Katanya, sejak era pemerintahan BN sebelum ini, apa sahaja akan didedahkan di media dan kepada rakyat secara terbuka untuk memalukan musuh politik.

"Tilam, cadar dan bantal dengan tompokan air mani pun mereka usung dan tayangkan di televisyen untuk fitnah lawan politik mereka.

"Video hitam putih yang digunakan untuk fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim pun mereka jadikan bahan utama di televisyen dan akhbar," katanya.