30 bangunan di bandar raya JB dicemari vandalisme

Iklan
Keadaan premis-premis yang diconteng dengan pelbagai tulisan mencacatkan pemandangan sekitar pusat bandar raya Johor Bahru

JOHOR BAHRU - Keindahan bangunan di bandar raya ini tercemar serta menyakitkan mata yang memandang apabila diconteng dengan pelbagai tulisan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Tinjauan mendapati pintu-pintu premis melibatkan lebih 30 bangunan itu menjadi mangsa vandalisme terutama di Jalan Tan Hiok Nie, Jalan Trus, Jalan Ibrahim, Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Abdul Razak.

Iklan
Iklan

Ini termasuk penutup zink untuk projek pembangunan dan kotak Tenaga Nasional Berhad (TNB) di beberapa kawasan sekitar juga 'dilukis' dengan pelbagai perkataan.

Nasaruddin

Pekerja pejabat, Nasaruddin Yusof, 47, berkata, pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sudah banyak berusaha mengindahkan landskap dan pemandangan serta naik taraf kemudahan dan bangunan di bandar raya ini.

Iklan

Bagaimanapun katanya, perbuatan vandalisme itu telah mencacatkan pemandangan dan pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) perlu dilakukan 24 jam bagi mengekang perbuatan tersebut.

"Sekarang Johor Bahru menjadi lokasi tumpuan yang banyak menerima kedatangan pengunjung seluruh negara termasuk luar negara khususnya Singapura.

Iklan
Penutup zink untuk projek pembangunan turut diconteng.

"Saya rasa bukan tahun ini, lukisan atau contengan tulisan graviti ini telah ada sejak awal tahun lalu tetapi semakin banyak.

"Kalau lukisan mural itu kita faham, memang akan membuatkan bangunan lama jadi cantik, tetapi contengan yang bersifat vandalisme ini mencacatkan pemandangan mata," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Jurujual, Seri Nur Aisyah Mohd Rizal, 17, berkata, aktiviti vandalisme itu dipercayai dilakukan pada awal pagi kerana waktu sebelah malam, bandar raya ini masih sesak dengan orang ramai.

"Kalau lukisan mural nampak menarik perhatian, akan nampak bangunan lama lebih berseri. Ini bangunan terbiar dilukis mengarut nampak lebih hodoh.

"Rasa kesal sebab sebelum ini bangunan-bangunan di sini nampak kemas dan cantik, sekarang jadi comot pula," katanya.

Polis bantuan, Nordin Adon, 42, berkata, kawasan sekitar dinding dan tembok bangunan Bazar Karat yang menjadi lokasi tumpuan pelancong turut menjadi mangsa vandalisme.

Jelasnya, keadaan itu amat mengecewakan dan tindakan segera perlu diambil pihak terbabit sebelum bertambah teruk serta menjadi tidak terkawal.

Perbuatan vandalisme itu telah mencacatkan pemandangan.

Sementara itu, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, pihak MBJB sudah berusaha meningkatkan imej Johor Bahru dengan mengindahkan pusat bandar raya yang merupakan pintu masuk negara antara Singapura dan Malaysia.

Katanya, antara usaha MBJB dengan menaik taraf lorong belakang, pejalan kaki, menyeragamkan dan mengecat semula bangunan-bangunan premis serta bangunan bersejarah, menambah baik landskap dan membuat mural di dinding dengan melambangkan identiti Johor.

Ujarnya, perbelanjaan yang dikeluarkan untuk semua projek itu juga adalah tinggi, namun MBJB mendapati terdapat banyak kerosakan dan vandalisme yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

"MBJB juga telah menjumpai sekumpulan remaja yang melakukan kerosakan dengan menconteng dan menyembur warna di dinding-dinding bangunan serta lampu jalan di sekitar pusat bandar.

"Dengan kerjasama pihak polis, remaja tersebut berjaya ditahan. Perbuatan ini boleh disabitkan di bawah Seksyen 425, Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan mengakibatkan kerugian atau boleh dijatuhkan hukuman di bawah Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBJB) 2003," katanya ketika dihubungi.