Faktor manusia punca utama kemalangan maut - Miros

Iklan
Kejadian kemalangan maut di negara ini sangat membimbangkan kerana jumlahnya yang meningkat saban tahun terutama menjelang setiap kali sambutan perayaan. Gambar hiasan, gambar kecil: Tengku Ahmad Marwan

KUALA LUMPUR - Kejadian kemalangan maut di negara ini sangat membimbangkan kerana jumlahnya yang meningkat saban tahun terutama menjelang setiap kali sambutan perayaan.

Ahli Bersekutu Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, terdapat beberapa faktor dilihat menjadi punca utama menyumbang kepada kejadian yang tidak diingini tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor berkata, faktor utama berlaku kemalangan adalah melibatkan faktor kecuaian dan tahap kesedaran pemandu itu sendiri.

Beliau berkata, ia sepadan dengan kajian MIROS yang mendapati 80 peratus punca kemalangan adalah daripada kecuaian manusia.

Iklan

Tegas beliau berkata, tahap kesedaran pengguna jalan raya di negara ini terhadap keselamatan jalan raya masih berada di tahap yang sangat rendah.

Beliau berkata, kemalangan maut sering kali disebabkan pemandu yang leka dan cuai ketika memandu, selain mengabaikan peraturan yang ditetapkan di kawasan-kawasan tertentu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Iklan

"Secara amnya, dengan kadar kemalangan jalan raya sebegitu tinggi, apa yang boleh dirumuskan adalah tahap kesedaran para pengguna jalan raya kita terhadap keselamatan jalan raya masih berada di tahap yang sangat rendah.

"Masih ramai pemandu yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan, memandu sambil menggunakan telefon bimbit serta tidak memberi tumpuan sepenuhnya ketika mengendalikan kenderaan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Marwan berkata, faktor kedua yang perlu diberi perhatian adalah melibatkan penguatkuasaan daripada agensi penguat kuasa negara.

Kata beliau, pihak berkuasa perlu ubah atau hentikan segala polisi atau undang-undang yang tidak menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan jalan raya.

Sebagai contoh menurutnya, pihak berkuasa tidak boleh berkompromi atau memberi kebenaran menggunakan cermin gelap dan kempen diskaun saman trafik.

Jelas beliau, perkara seumpama itu bukan sahaja tidak membantu untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya (KJR), malah secara tidak langsung gagal mendidik orang ramai untuk mematuhi undang-undang jalan raya.

"Malah sebab itu juga menjadi antara punca utama kenapa mereka gagal menggunakan jalan raya dengan selamat," ujarnya.

Tambah beliau, pihak berkuasa masih belum berjaya untuk memastikan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) yang sepatutnya dilaksanakan di sekolah-sekolah dengan berkesan.

Jelasnya, usaha meningkatkan kualiti pengguna jalan raya perlu bermula dari peringkat usia muda.

Untuk itu tegasnya, PKJR perlu dimulakan dari peringkat awal persekolahan sehingga ke peringkat sekolah menengah.

Selain itu kata beliau, pada peringkat latihan dan pelesenan pemandu, silibus sedia ada iaitu Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) perlu dibuat kajian semula tentang hasil keberkesanannya.

Menurutnya, KPP perlu dibuat perubahan secara menyeluruh kerana sebahagian besar mangsa-mangsa nahas jalan raya merupakan pengguna kenderaan bermotor yang sudah pun memiliki lesen memandu sah.

Selain itu, beliau berkata, isu kualiti serta keberkesanan penyampaian perlu diatasi dengan segera, malah penguatkuasaan yang lebih tegas perlu diberi perhatian serius.

"Undang-undang jalan raya dibuat untuk menjaga keselamatan semua pengguna jalan raya.

"Tanpa dikuatkuasakan undang-undang tersebut dengan tegas, maka tujuan utama undang-undang tersebut mahu dilaksanakan tidak akan mencapai matlamatnya.

"Saya sangat berharap agar pihak berkuasa serta pihak yang berkaitan dengan KJR perlu lebih serius, selain Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) perlu menjadi platform utama bagi semua pihak terlibat untuk duduk semeja dan mencari jalan penyelesaian," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!