Jerebu: Ibu bapa risau kesihatan anak

Iklan
Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut Papar pada Jumaat hadir ke sekolah seperti biasa meskipun daerah Papar diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau. Foto Bernama

PAPAR - Keadaan jerebu akibat pembakaran terbuka dan kemarau yang melanda daerah ini serta beberapa kawasan di Sabah membuatkan ibu bapa bimbang untuk membenarkan anak mereka berada di luar termasuk ke sekolah yang sesi pembelajaran masih berjalan seperti biasa.

Suri rumah Noor Syakira Zulkifli, 39, berkata, kegusaran itu bertambah apabila anak perempuannya yang berusia 11 tahun mengadu matanya menjadi merah dan gatal hingga sukar untuk melihat dengan baik.

Iklan
Iklan

Sebagai langkah pencegahan, ibu tiga anak itu berkata, dia mengehadkan masa anak-anaknya berada di luar rumah dan hanya membenarkan mereka keluar jika ada perkara penting seperti ke sekolah.

"Keadaan jerebu pada Rabu lepas lebih teruk berbanding hari ini sebab ada kebakaran sawah padi. Saya berharap jika keadaan ini (jerebu) berterusan pihak sekolah perlu ada inisiatif lain seperti memendekkan waktu pembelajaran," katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Iklan

Berasal dari Kampung Takis di sini, Noor Syakira berkata, sepanjang pengetahuannya ini kali pertama Papar diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau dan berharap pihak bertanggungjawab dapat membantu penduduk di daerah itu.

Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Abdul Razak Muda dilaporkan berkata jabatan itu telah memadamkan kebakaran terbuka melibatkan kawasan seluas 1,721.29 hektar dari Januari hingga Khamis lepas, dan masih berusaha memadamkan 62.56 hektar kawasan lagi yang masih terbakar dengan kebanyakannya di pantai barat negeri itu.

Iklan

Pada Rabu lepas, Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Papar mengisytiharkan daerah yang terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu itu sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas.

"Sebagai bapa memang bimbang dengan kesihatan anak saya itu, jadi saya harap ada kelonggaran terutama pihak sekolah dari segi kehadiran dan sesi pembelajaran,” katanya yang menambah ketiadaan bekalan air juga menyukarkan ibu bapa mengurus anak-anak mereka.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut di sini, Izmir Affendi Mohd Hazman, 16, berkata, pemakaian pelitup muka sesuatu yang perlu bagi dirinya rakan-rakan ketika pergi sekolah walaupun ia belum diwajibkan.

"Kami ambil langkah berjaga-jaga, semasa Covid-19 kita sudah biasa pakai pelitup muka, guna cecair pencuci tangan dan jaga kebersihan, jadi kita amalkan semula selain bawa ubat mata ketika jerebu dan kemarau ini,” katanya.

Rakannya Irene Lucy Olumis, 15, berkata, pembelajaran secara dalam talian yang digunakan ketika COVID-19 dahulu boleh dilaksanakan semula sekiranya keadaan jerebu dan kemarau semakin teruk di kawasan ini.

"Kita dah ada pengalaman belajar secara dalam talian dan kemudahan pun sudah ada, jadi saya rasa tiada masalah untuk kita laksanakan semula. Bukan sahaja ibu bapa, kami yang pergi sekolah hari-hari lagi risau kerana terdedah dengan jerebu dan cuaca panas yang tidak selesa untuk belajar,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28