BAGAN DATUK - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ikan sewenang-wenangnya sepanjang Ramadan ini.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ketika ini berlaku lambakan bekalan ikan selepas berakhirnya musim Monsun Timur Laut sekali gus menbolehkan nelayan turun ke laut dengan selamat.
"Sepatutnya dengan bekalan ikan yang banyak itu, harga ikan murah. Jadi, saya tekankan kepada peniaga supaya jangan sewenang-wenangnya menaikkan harga ikan sehingga membebankan pengguna," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan Program Madani Anak Nelayan Kembali ke Sekolah LKIM-BHPetrol bagi Persatuan Nelayan Kawasan (Hilir Perak) di Dewan Dato' Mohammad Jamrah, Sungai Sumun dekat sini pada Sabtu.
Dalam isu tersebut, Muhammad Faiz mengharapkan pemantauan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup agar harga ikan di pasaran terus terkawal dan stabil.
Katanya, perkara itu selari dengan komitmen dan agenda Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang mahu kesejahteraan rakyat terpelihara.
"Kolaborasi bersama kementerian terlibat akan diperkukuh supaya dapat menjamin bekalan makanan atau ikan yang cukup seterusnya memastikan harga terkawal," katanya.
Beliau berkata, LKIM turut memberi jaminan bekalan ikan di pasaran seluruh negara adalah mencukupi di pasaran sepanjang Ramadan dan Aidilfitri nanti.
Jelasnya, LKIM dengan kolaborasi syarikat swasta telah menyediakan bekalan sebanyak 1,590 metrik tan ikan segar beku sebagai persediaan untuk musim perayaan Aidilfitri bulan depan.
"LKIM sendiri ada menyediakan stok simpanan ikan sejuk beku menerusi kaedah Q’Fish yang dijual dengan harga berpatutan bagi menampung permintaan rakyat," katanya.
Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 100 orang kalangan anak nelayan menerima peralatan sekolah seperti pakaian, kasut sekolah, botol air serta peralatan tulis melibatkan peruntukan keseluruhan RM15,000.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28