SIBU - Jenazah Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim, 28, yang terkorban dalam tragedi bot karam di Batang Baleh berhampiran Sekolah Kebangsaan Lepong Baleh pada 7 Mac lepas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemuyang di sini lewat petang tadi.
Turut hadir pada upacara penghormatan terakhir dan pengebumian anggota polis itu ialah Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dan isteri Datin Jennita William, Ketua Polis Daerah Sibu Zulkipli Suhaili dan Ketua Polis Daerah Kapit Deputi Superintenden Rohana Nanu.
Isteri Allahyarham, Anis Nur Ezati, bapanya Ibrahim Deraman, 72, dan ibu Iskandar iaitu Zaharah Selamat, 68, serta adik-beradiknya juga hadir pada upacara itu.
Mancha kemudian menyerahkan bendera Sang Saka Biru dan sumbangan kewangan daripada Polis Sarawak kepada Anis Nur Ezati.
Mayat Iskandar yang masih lengkap berpakaian seragam polis ditemukan terapung di kawasan Seputin, Batang Rajang kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada 11.30 pagi semalam iaitu hari kesembilan operasi mencari dan menyelamat.
Semasa insiden pada petang 7 Mac lepas, Iskandar yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit sejak 25 Oktober 2021 bersama seorang lagi anggota iaitu Sarjan Jonathan Lambet, 52, mengiringi penghantaran bahan letupan seberat 35 kilogram untuk kegunaan kerja-kerja meletupkan batu bagi projek pembinaan jalan di kawasan Baleh.
Turut serta tiga orang awam iaitu Jack Balan, 45, Amerson John Nain, 47, dan Moses Ngui, 47.
Mayat Jack dan Amerson ditemukan lebih 160 kilometer dari lokasi kejadian manakala Moses berjaya diselamatkan oleh orang awam.
Sementara itu, Anis Nur Ezati berkata, dia akan pulang ke kampung halamannya di Machang, Kelantan sebaik sahaja semua urusan di Kapit selesai.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dari hari pertama dia hilang sehingga dijumpai dan saya berterima kasih kepada semua warga Sarawak yang membantu mencari sehingga selesai pengebumian hari ini,” katanya kepada pemberita di tanah perkuburan.
Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jabal An-Nur Bleteh, Kapit sebelum dibawa ke Sibu dan tiba di tanah perkuburan di sini pada 5 petang. - Bernama