DUBAI - Insiden sambaran kilat di puncak menara Burj Khalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) seakan-akan memberi 'mesej jelas daripada Ilahi'.
Imej menakjubkan itu dirakamkan oleh jurugambar tempatan, Zohaib Anjum dan telah meraih hampir 12 juta tontonan malah mencetuskan pelbagai reaksi di platform media sosial sejak beberapa hari lalu.
Kebanyakan warganet membuat persamaan panahan kilat itu dengan peta wilayah Palestin sebelum ia diduduki Israel ketika perang semakin ganas di Genting Gaza.
Bagaimanapun, terdapat pakar yang enggan imej tersebut disalahtafsir dan menganggap ia sebagai fenomena semula jadi yang kebetulan kelihatan seperti bendera Palestin.
Aktivis di Lembah Chenab yang terletak di wilayah Jammu dan Kashmir, India, Mansoor Ahmed turut mengagumi kejadian tersebut.
"Jika kilat mampu 'menggegar' Burj Khalifa, sudah pasti kesengsaraan penduduk Palestin dapat 'menggoncang' hati pemimpin dunia," katanya.
Walaupun kesahihan video itu tidak dapat dipastikan dan penjelasan saintifik tentang insiden tersebut adalah jelas, ia tetap memberi impak besar di media sosial terutamanya dalam kalangan pengguna Muslim yang bersedih dengan nasib penduduk Gaza. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28