Pangkor dibungai Sajak

Iklan
Gambar hiasan

Pulau Pangkor lebih tua dari Taiping. Ketika bijih timah dijumpai di Larut pada 1848, nama Taiping belum muncul tetapi pulau itu sudah pun didiami oleh masyarakat nelayan. Istilah Pangkor terdapat dalam bahasa Siam yang membawa maksud iaitu ‘pang’ adalah halangan manakala ‘kok’ ialah pulau.

Justeru Pangkor memberi makna sebuah pulau yang terhalang oleh Selat Dinding kerana ‘dinding’ bererti batasan atau sempadan. Nelayan Siam yang menjumpai pulau itu menggelarnya ‘Pangkok’ tetapi akhirnya bertukar dengan dialek orang tempatan ‘Pangkor’ melekat sehingga sekarang sebagai pulau bebas cukai yang pertama di Perak.

Iklan
Iklan

Pada tahun 2016, Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) menerbitkan sebuah antologi sajak per se berkaitan pulau tersebut berjudul Pangkor Pekan di Selat Dinding yang merakamkan perspektif penyair Malaysia dan Indonesia tentang Pangkor sebagai sebuah pulau peranginan utama di negara ini selepas Langkawi.

Sajak sebenarnya manifestasi penyair meluahkan pandangan, pemikiran serta kebijaksanaan yang tersusun dengan bahasa puitis lagi ekonomis sifatnya, berlambang, bernada di samping menelurkan ‘kesan’ yang memukau khalayak sama ada untuk turut memikirkan persoalan isi mahupun mengabaikan, tanpa melupakan impak yang dibangkitkan oleh sajak itu. Misalnya Ahmad Salleh Haji Ahmad @ Asha melukiskan Pangkor begini;

Iklan

Pangkor pulau kebanggaan

Pulau tersohor lipatan sejarah

Iklan

Di Selat Dinding berdiri megah

Atas geladak HMS Pluto tinta memuntah

Menggamit petualang memintas kuasa di bumi bertuah

Penyair menyingkap sejarah Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874 yang ditandatangani di atas kapal British, HMS Pluto di Selat Dinding. Perjanjian itu menghalalkan aksi kolonialisme di Perak. Ini sebuah kisah Pangkor yang terakam dalam lipatan sejarah tanah air yang dikritik penyair;

Malang peribumi ramai tak reti

Kecundang waris di bumi bertuah

Namun begitu, penulis Asmira Suhadis menciumi bahawa di Pangkor terselit sebuah kisah kepahlawanan pendekar Melayu yang menghalau orang Belanda yang cuba bertapak di pulau itu. Panglima Kulup telah meruntuhkan sebuah gudang bijih timah (kini dikenali sebagai Kota Belanda) di Teluk Gedung.

Katanya: Kota Belanda | bukan hanya batu-batu | di situ ada cerita keperibadian pahlawan Melayu | yang berselindung | di sebalik keangkuhan penjajah sehingga memaksa Belanda mengukir sejarah hitam tersebut pada sebuah batu besar (digelar batu bersurat) merakamkan kekecewaan mereka terhadap tindak balas Panglima Kulup.

Bukti sejarah ini dikuatkan dengan nukilan Faris Arshad bahawa Kota Belanda megah di sini | mengundang luka sejarah anak bangsa. Namun berbeza dengan pandangan Leo W.A.S yang pesimis berkata; Juga di sini | kau kumpulkan | rangkaian bersejarah | yang tak mungkin| diluruskan kembali lalu dipersetujui oleh Lily Siti Multatuliana Sutan Iskandar (penyair dari Indonesia) dengan menyebut; Di Pangkor | ku sambangi sejarahmu | reruntuhan benteng Belanda yang kukuh | terngiang-ngiang Birch yang terbunuh.

Pulau Pangkor sebelum dimajukan terkenal tempat para nelayan berteduh dan berlindung dari angin ribut. Malah pantai Pasir Bogaknya, putih melepak persis sebuah hamparan pasir halus yang menghadap ke pulau-pulau kecil dikenali sebagai Pulau Sembilan.

Keindahan alam ini disuarakan oleh Mokhtar Mimi begini; Pulau indah peranginan mustika Selat Melaka | pulau perlindungan teduh waktu ribut menggila | pulau inilah pernah mengusir nelayan cemas | memijak putih permaidani pasir pantainya.

Justeru para pelawat terpegun akan keindahan Pangkor seperti dinukilkan oleh Nimoiz T.Y. Katanya; Pangkor menghantar ke pulau pesona | ke pulau bilis bermata biru| ke pulau tarian sotong | ke pulau yang bernama alam | ke pulau yang menggamit ketenangan. Demikian apabila pengunjung pulang dari pulau ini pasti membawa sebuah kenangan indah sebagaimana kata Norazimah Abu Bakar; Melakar peristiwa atas pasir putih pantai | dalam buih- buih ombak kita titipkan madah| Pulau Pangkor mengimbau indah | asyik leka hingga munculnya mentari.

Namun bagi Solihin Osman, Pangkor menurutnya; Ibarat pulau untuk hati | memukau segala fikir | keluar dari segenap mimpi ini | jernih air pantainya| diukir pada ingatan | menggamit rindu | pengembara yang jauh.

Malah penyair dari Padang, Sumatera Barat, Syarifuddin Arifin menebarkan kata-katanya pada jala harapan; Di Teluk Nipah pantai baratmu Pangkor | aku tercampak ke pantai padang | atau di antara teluk dan pulau-pulau | para pelancong yang terabaikan | atau kulit bawang yang memisahkan | hingga kecemburuan datang mendera lantas Tabir Alam melunaskan harapan Syarifuddin Ariffin bahawa Pulau Pangkor di gemuruh rasa | puisi lagu rakyat berkumandang | Pulau Pangkor itu pelabuhan PULARA | berlabuh di arena Pangkor | di situ berkampung penyair tersohor.

Selain penyair, orang politik iaitu Dr Zambry Abdul Kadir (Menteri PendidikanTinggi) juga menyuarakan suaranya tentang Pangkor iaitu;

Di pulau ini kalian bermimpi

Di pulau ini kita meterai janji

Jangan ada antara kita

Menjadi pemuka pemusnah wangsa

Tenunglah kembali pelantar tua

Ada kenangan dan salam di sanaZambry seolah-olah mengimbau kembali bahana terpahatnya Perjanjian Pangkor di Selat Dinding yang telah berusia 150 tahun itu, iktibar dan ibrah kepada anak bangsa. Maksud senada dibangkitkan jua oleh Puzi Hadi dengan mengeluh; Oh Pangkor, nama agam teks sejarah | kelicikan Sir Andrew Clarke memeterai | Perjanjian Pangkor (20 Januari 1874)| Inggeris menoda dara Tanah Melayu | dek percaturan kuasa nenek moyang kita. Namun begitu, Sabariah Bahari cuba menenteramkan jiwa-jiwa terluka itu dengan kata-kata lunak memujuk bahawa;

Di pulau sejarah ini

Anak belajarlah mengenalnya

Laksa berlemak di Teluk Nipah

Cucur ikan bilis bermata biru

Ikan bakarnya yang manis

Air lautnya yang jernih

Burung enggang yang ramah

dan pantainya yang menawan Turut melunakkan situasi Pangkor ialah Sasterawan Negara, Zurinah Hassan menerusi sajaknya, Pulau Pangkor.

Selamat pagi pantai

Sudah lama aku tidak duduk di ribaanmu

Menyandarkan kepalaku pada rimba

Melunjurkan kakiku pada laut

Membuka dadaku pada angin yang memelukku ke dalam kehijauan

Sesungguhnya kegelisahan orang luar terhadap nasib pulau bebas cukai itu bertepatan dengan bait-bait sajak Pagi di Pangkor yang seharusnya menjadi renungan para pemegang taruh. Sajak itu berbunyi; Tetes embun Pangkor | menceritakan kisah yang terpendam | tentang kehilangan Telok Belanga di peta zaman | tentang kepupusan bilis istimewa nafkah nelayan | tentang kerakusan pembangunan mengoyak pukat rawan. ‘Kasihan Pangkor’, sindir sajak itu,"Tetes embun pagi, menjadi tabir menutup cerita ini!.”

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Pk