Bahasa Melayu identiti nasional
Pada 26 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah menzahirkan kebimbangan apabila mendapati segelintir generasi hari ini masih belum menguasai Bahasa Melayu.
Titah Seri Paduka Baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 –"Saya perhatikan setelah 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.
”Identiti nasional perlu dirujuk kepada keluhuran perlembagaan, fasih menguasai bahasa Melayu dan bangga menjadi warga tanah air ini. Perkara 152 Perlembagaan menyatakan (1) bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen, dengan syarat (a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajarkan atau belajar apa-apa bahasa lain dan (b) tiada apa-apa juga dalam fasal ini boleh menjejaskan hak kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana kerajaan negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.