TINDAKAN premis kedai serbaneka terkemuka yang menjual stoking tertera kalimah ALLAH SWT perlu dijadikan pengajaran kepada pemilik perniagaan lain agar tidak mengulangi kesilapan sama.
Pada 14 Mac lalu, pengendali kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking berjenama Miranosock itu di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.
KK Super Mart dalam satu kenyataan berkata, tindakan susulan telah diambil yang mana pihaknya dengan serta-merta menghentikan penjualan stoking tersebut.
Pengasas KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit tanpa pemantauan pekerja pihaknya.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan terhadap 800 cawangan KK Super Mart di seluruh negara mendapati hanya tiga premis yang mempunyai produk terbabit dan terdapat 14 pasang tertera kalimah ALLAH.
Justeru, tindakan peniaga yang tampil memberi permohonan maaf juga sepatutnya dijadikan iktibar kepada mana-mana usahawan yang menjual barangan tanpa pemeriksaan terlebih dahulu.
Selepas isu tular tersebut, usahawan perlu lebih peka terhadap produk yang dipamerkan atau dipromosikan di premis perniagaan masing-masing.
Ibu bapa juga sepatutnya memantau dan memeriksa pembelian barangan yang dilakukan oleh anak-anak secara sendirian tanpa pengawasan orang dewasa.
Apa pun, peranan pihak berkuasa amat memainkan peranan penting agar isu yang menggugat kaum Islam di negara ini tidak berlaku lagi kelak.
Pemantauan dengan lebih kerap di setiap premis yang menjual produk atau barangan import daripada luar negara perlu dilakukan bagi mengesan kerosakkan pada barangan.