PAPAR - Tiada gerai yang menjual telur mata sebiji RM4.50 seperti yang didakwa di media sosial baru-baru ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, pemeriksaan telah dilakukan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN di Bazar Bandar Permaisuri Cheras pada Jumaat susulan tularnya perkara itu.
Jelasnya, pemantauan dilakukan membabitkan pelbagai barangan bukan hanya yang dijual tetapi barang makanan turut dilakukan pemeriksaan.
"Terdapat 60 gerai dan hanya sembilan gerai yang menjual makanan berlauk di mana daripada jumlah itu hanya ada tiga gerai menjual telur mata. Apa yang kita lakukan yang pertama kita hubungi pihak yang telah membuat aduan tersebut namun beliau sendiri mengakui tidak membeli di gerai tersebut tetapi berjalan sepintas lalu melihat harga RM4.50.
"Jadi hasil pemeriksaan tidak ada gerai yang menjual satu biji telur mata dengan harga RM4.50 dan memang ada gerai yang menjual RM4.50 tersebut tetapi sebenarnya adalah satu set nasi kukus dengan telur mata, bilis dan sebagainya. Jadi bukanlah telur mata berharga RM4.50," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan Program Jualan Rahmah (PJR) Ramadan dan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di Tapak Tamu Mingguan Papar, di sini pada Sabtu.
Susulan kejadian itu, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, KPDN amat mengalu-alukan maklum balas daripada pengguna namun perlu disalurkan kepada platform yang telah disediakan.
"Kerjasama daripada pengguna cukup penting jadi berilah aduan ke platform yang telah disediakan dengan lokasi serta butiran yang lengkap kalau boleh, jangan viralkan dahulu.
"Kadang-kadang bila kita viral dulu kalau betul berlaku salah laku itu mereka boleh menyembunyikan aktiviti yang salah. Itu yang penting jadi kita merayu kepada pengguna.
"Pengguna mempunyai hak memilih kalau pun ada harga yang mahal, ada 60 gerai dan sembilan daripadanya menjual makanan berlaku jadi pengguna punya pilihan untuk memilih makanan dengan harga yang berpatutan," katanya.
Sementara itu, ditanya berhubung isu penjualan air botol susulan masalah bekalan air yang melanda di Papar, Armizan berkata, belum ada aduan berhubung harga barang tersebut dijual dengan mahal.
"Kita akan semak sekiranya betul di pasaran harganya dijual cukup tinggi, kita lihat ada keperluan untuk bekerjasama dengan pasar raya atau peruncit untuk menjualnya di program PJR yang kita laksanakan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28