KUALA LUMPUR - Pembangunan di luar bandar dan desa bukan hanya terletak di bahu kerajaan pusat kerana kerajaan negeri juga harus memikul tanggungjawab sama bagi mengurangkan kadar penduduk kategori miskin tegar di kawasan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, terdapat kerajaan negeri yang komited membangunkan kawasan luar bandar dan ini menyebabkan terdapat jurang taraf hidup penduduk di kawasan terbabit antara negeri-negeri.
"Jangan hanya mengharapkan Kerajaan Persekutuan. Saya yakin negeri-negeri yang luar bandarnya maju adalah apabila mereka sendiri mempunyai pendapatan hasil kutipan negeri. Yang penting bukan hanya infrastruktur asas seperti api dan air disediakan tetapi juga pembangunan lain yang sama penting termasuk pendidikan.
"Penekanan terhadap perkara itu mesti dibuat kerana (terdapat) penyelarasan dengan pelbagai kementerian, agensi (di peringkat persekutuan) dan jabatan-jabatan kerajaan negeri," katanya dalam wawancara khas sempena pasca Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 baru-baru ini.
Beliau berkata, ketika ini, terdapat lebih 8.7 juta rakyat Malaysia mendiami kawasan luar bandar di seluruh negara dengan kira-kira 17.3 peratus penduduk berada dalam kategori miskin.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan komited membantu penduduk dalam kategori miskin dan miskin tegar serta sentiasa menunaikan janji apabila membuat pengumuman berkaitan perancangan membantu masyarakat dalam kategori itu dibuat.
Beliau berkata, ini terbukti melalui bantuan sewajarnya menerusi program-program kerajaan yang telah dan sedang dilaksanakan serta disalurkan bagi membantu mereka keluar daripada kepompong miskin tegar.
"Tahun lepas, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang juga Menteri Kewangan telah mengumumkan beberapa kaedah untuk menyelesaikan (masalah) miskin tegar.
"Kita lihat setiap tahun garis kemiskinan pasti akan mempunyai braket pendapatan yang lebih tinggi. Suatu ketika kita lihat RM1,280 adalah miskin tegar tetapi sekarang ini, angka itu telah meningkat," katanya.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan kini juga fokus untuk mewujudkan sistem yang berkait rapat dalam usaha membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk luar bandar khususnya Bumiputera bagi memastikan penyelesaian kemiskinan dapat diatasi.
"Sistem berkenaan yang sedang dibuat akan dipastikan dapat menyelesaikan kemiskinan di desa ataupun luar bandar yang terkait antara satu sama lain termasuk menyediakan 'kolam' dan 'kail' kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pembentangan Pengerusi Kluster Sosioekonomi Bumiputera Sabah, Profesor Madya Datuk Dr Ramzah Dambu pada kongres ekonomi itu yang menyatakan isu di Negeri Di Bawah Bayu agak berbeza kerana isu utamanya adalah berhubung kait dengan infrastruktur.
Antara lain Ramzah berkata, isu sebenar bukanlah mengenai pancing atau ikan tetapi kolam itu sendiri tidak ada di Sabah.
Menyentuh pembangunan penduduk Orang Asli, Ahmad Zahid berkata pindaan Akta Orang Asli bukan sahaja untuk menjamin hak mereka malah berhasrat membantu meningkatkan taraf hidup suku kaum itu.
Beliau berkata, ketika ini, sesi libat urus bukan sahaja dilakukan bersama agensi atau jabatan berkaitan malah penduduk Orang Asli itu sendiri dan badan bukan kerajaan.
"Ramai Orang Asli yang telah memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD), sarjana serta berada pada tahap profesional dan pada hemat saya, biarpun ada dalam kalangan mereka yang berbeda pandangan, kita harus mendekati dan menyantuni. Ini supaya supaya dapat memberikan input terbaik bagi mempertingkat kehidupan Orang Asli secara keseluruhan," katanya.
Beliau berkata, bagi tujuan itu, pelbagai keutamaan diberikan kepada Orang Asli antaranya pendidikan yang diharap mampu mengubah kehidupan mereka kepada lebih baik.
Pada 2023, Ahmad Zahid berkata, isu berkaitan pendaftaran perkahwinan, kelahiran dan kawasan rayau membabitkan Orang Asli diberi perhatian dalam pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) untuk menjamin hak mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara itu berkata, pendidikan anak-anak Orang Asli juga akan diperkasa menerusi penekanan terhadap TVET selain mengharapkan lebih ramai yang menjejakkan kaki ke menara gading.
"Tahun lepas, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menyasarkan 300 anak Orang Asli memasuki universiti, hasilnya lebih 400 layak meneruskan pengajian di peringkat itu. Tahun ini saya yakin mungkin 500 atau lebih 600 akan masuk universiti," katanya.
Ahmad Zahid juga berkata, meskipun belum mendapat respons secara rasmi berkaitan pindaan itu namun perkara tersebut telah dibawa ke mesyuarat dan persidangan Menteri-Menteri Besar.
"Setakat ini mereka sangat positif, begitu pun kita ada beberapa isu terpencil yang harus kita tangani terlebih dahulu sebelum muktamadkan pindaan kepada Akta Orang Asli ini," katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28