PASIR GUDANG - Ibu kepada kanak-kanak lelaki yang maut dikelar di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang dekat sini pada Sabtu berubah sikap daripada seorang peramah menjadi pendiam.
Ahli keluarga terdekat ketika ditemui di berkata, wanita berusia 32 tahun itu menunjukkan perubahan sikapnya sejak Jumaat, sebelum suaminya keluar bekerja di sebuah kilang di Tanjung Langsat.
"Mereka baik dan tak ada bergaduh. Malah boleh dikatakan mereka kerap balik ke kampung di Felda Redong dan Kemelah, Segamat. Malah awal puasa tempoh hari pun mereka ada pulang ke kampung halaman.
"Suaminya ada beritahu, dia risau nak tinggalkan isterinya untuk ke tempat kerja pada sebelah pagi sebab malam Sabtu dia diam," katanya ketika ditemui pada Ahad.
Ahli keluarganya itu memberitahu mereka amat terkejut apabila dihubungi bapa kanak-kanak lelaki terbabit yang memaklumkan mengenai kejadian menyayat hati itu selepas waktu Zohor pada Sabtu.
Jelasnya lagi, kedua-dua pihak memaklumkan pasangan itu sudah lama kenal sejak di bangku sekolah sebelum mendirikan rumah tangga pada Disember 2021.
Pasangan itu, dikurniakan seorang cahaya mata iaitu mangsa yang kini berusia setahun enam bulan dan tinggal bertiga di Taman Cahaya Masai sejak berkahwin.
Dalam pada itu, ahli keluarganya itu turut memaklumkan mangsa yang berusia setahun enam bulan itu merupakan anak tunggal yang aktif selain baharu dapat berjalan dia juga sudah pandai menyebut 'ibu dan ayah'.
Sebelum itu, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian terbabit sekitar jam 1.30 tengah hari pada Sabtu.
Jelasnya, siasatan awal mendapati, ibu mangsa yang berusia 32 tahun itu telah menghantar gambar si mati yang berlumuran darah pada leher melalui aplikasi WhatApps kepada suaminya.
"Susulan itu, polis melakukan tangkapan ke atas ibu kandung mangsa untuk siasatan lanjut dan sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk mengelar si mati turut dirampas,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28