SHAH ALAM - Tindakan seorang lelaki menunggang secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Oktober 2023 lalu mengundang padah apabila rakaman video aksinya itu tular di media sosial sebelum dia ditahan pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Mohd Sapri berkata, semakan mendapati suspek melakukan aksi mengangkat tayar hadapan selain melakukan aksi zig-zag.
"Suspek didapati melakukan pelbagai aksi berbahaya termasuk meletakkan kedua belah kakinya di atas tempat duduk secara berbahaya.
"Siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku pada 2 Oktober di Kilometer 115.6-116.2 dan Kilometer 120.2-120.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada tangkapan suspek berumur 18 tahun dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.
"Suspek ditahan di pekarangan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara kira-kira jam 7.15 petang.
"Suspek mendakwa ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Bagan Ajam, Butterworth dan video berkenaan dirakam rakannya sendiri," katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada Sabtu, tular video berdurasi 31 saat di halaman Facebook memaparkan aksi seorang lelaki menunggang secara melulu dan berbahaya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28