El Nino: Tiga empangan MADA tidak terjejas, bekalan air cukup

Iklan
Keseluruhan takungan di Empangan Pedu, Muda dan Ahning merekodkan sebanyak 72.60 peratus setakat Ahad.

ALOR SETAR - Paras takungan air di tiga empangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berada pada paras selesa dan mencukupi bagi menampung keperluan pengairan tanaman padi termasuk kegunaan domestik sepanjang musim El Nino.

MADA dalam satu kenyataan berkata, jumlah keseluruhan takungan ketiga-tiga empangan MADA adalah 887,920 ekar kaki bersamaan 72.60 peratus setakat Ahad.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, kapasiti takungan Empangan Pedu adalah sebanyak 625,000 ekar kaki bersamaan 71.43 peratus, manakala Empangan Muda sebanyak 58,750 ekar kaki atau 47 peratus dan Empangan Ahning sebanyak 204,170 ekar kaki atau 91.56 peratus.

"Pada ketika ini status kemajuan aktiviti tanaman padi bagi musim 2/2023 di peringkat penuaian, yang mana 77.3 peratus di Kawasan Muda sudah dituai. Oleh itu, penggunaan air untuk tujuan pengairan pada tahap minimum,” kata kenyataan itu.

Iklan

MADA memaklumkan, jumlah turunan hujan di Kawasan Muda setakat Sabtu merekodkan bacaan lebih rendah iaitu sebanyak 59 milimeter (mm) berbanding jumlah purata turunan hujan 20 tahun, iaitu 164 mm.

Bekalan air mencukupi untuk aktiviti pengairan tanaman padi termasuk kegunaan domestik sepanjang musim El Nino.

"Orang ramai tidak perlu risau biarpun jumlah takungan air di empangan sedikit berkurangan namun ia masih memuaskan untuk permulaan aktiviti tanaman padi musim 1/2024 yang akan bermula April depan,” katanya.

Iklan

Menurut MADA, bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga Jun depan, beberapa langkah berjaga-jaga diambil selain melakukan tindakan segera memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air dari empangan.

"Selain itu, MADA menjalankan operasi membekalkan air pengairan secara penggiliran mengikut keperluan aktiviti sawah di setiap wilayah berdasarkan fasa tanaman sehingga aktiviti musim 2/2023 selesai sepenuhnya penghujung Mac,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, petani dinasihatkan menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna bagi mengelak pembaziran.

"MADA juga mengingatkan petani agar tidak melakukan aktiviti pembakaran jerami padi secara terbuka yang boleh menyebabkan kenaikan suhu panas serta pencemaran alam sekitar,” kata kenyataan itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28