‘Saya akan beri yang terbaik’ - Harith Haiqal

Iklan
Harith Haiqal Adam Afkar

IMPIAN menjadi kenyataan buat pemain pertahanan muda Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar selepas disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Oman pada aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Muscat pada Jumaat.

Ia menyaksikan pemain berusia 22 tahun itu berpeluang meraih debut antarabangsa di peringkat senior, jika beliau diturunkan Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon pada pertembungan yang dijadual berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos pada 22 Mac ini (2 pagi waktu Malaysia).

Iklan
Iklan

Kehadiran tonggak benteng pertahanan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu dalam skuad kali ini, berkemungkinan dipengaruhi dengan ketiadaan Junior Eldstal yang merupakan antara dua pemain selain ketua pasukan Matthew Davies yang terpaksa digugurkan akibat kecederaan.

Begitupun, produk Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) itu tidak menyangka disenaraikan Pan-gon dan menganggap pemilihannya itu bukan hanya bersandarkan nasib.

Iklan

"Saya rasa di mana-mana kita sebagai manusia perlukan faktor nasib tetapi bukan sekadar nasib, saya rasa ia (pemilihan) juga disebabkan rezeki. Saya sudah berusaha dan bermain untuk Selangor selama lima tahun dan ini kali pertama saya berada dalam senarai akhir. Saya sangat bersyukur dan bangga.

"Mungkin kalau Junior datang saya tiada (dalam pasukan) dan mungkin jika Junior ada saya pun ada sekali, saya tak tahu, tapi fokus saya ketika ini tertumpu untuk perlawanan dengan Oman,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Iklan

Sementara itu, Harith Haiqal percaya pengalaman bersama pasukan senior akan membantunya dan beberapa pemain skuad B-23 lain yang turut disenaraikan ke Muscat, bagi menghadapi saingan Piala Asia B-23 2024 di Doha, Qatar bermula April depan.

"Saya akan beri yang terbaik...tak kisah sama ada bersama skuad B-23 ataupun pasukan kebangsaan, saya akan sentiasa berikan apa yang saya ada,” kata pemain berasal dari Klang itu sambil menyatakan barisan pemain senior banyak membantu pemain muda untuk menyesuaikan diri bersama pasukan.

Selepas menentang Oman di Muscat, Malaysia yang berada di ranking ke-132 dunia sekali lagi akan bertemu pasukan nombor 80 dunia itu di Stadium Nasional Bukit Jalil 26 Mac ini.

Kemudian, pasukan negara akan bertemu Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun depan dan menamatkan saingan kumpulan D menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

Malaysia kini menerajui saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, diikuti Oman kedua yang berkongsi tiga mata bersama Kyrgyzstan di tempat ketiga, manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!