Sisa makanan dilupuskan Ramadan tahun ini dijangka menurun

Iklan
Aiman Athirah menyampaikan cenderamata kepada peniaga Bazar Ramadan Kosmopleks, Bandar Salak Tinggi pada Ahad.

SEPANG - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjangkakan sisa pepejal yang dilupuskan pada Ramadan kali ini menurun sebanyak tiga peratus.

Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan jumlah sisa makanan yang dilupuskan pada bulan puasa tahun lalu didapati berkurang sebanyak 3.07 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, secara purata sebanyak 8,159 tan sisa pepejal dilupuskan di 28 tapak pelupusan di bawah selian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada bulan Ramadan tahun lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah sisa pepejal itu, 35.45 peratus atau 2,892 tan merupakan sisa makanan.

Iklan

"Bersempena Ramadan ini, SWCorp akan melaksanakan sesi libat urus bersama penjaja dan pengunjung dengan menyasarkan 71 bazar Ramadan di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672 dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Antara pengisian sesi libat urus itu ialah penyampaian ceramah, pameran, mempromosikan bahan pendidikan dan perkongsian tips-tips mengelakkan pembaziran bersama peniaga dan pengunjung.

Iklan

"Pelaksanaan kempen ini juga akan melibatkan aktiviti pengumpulan lebihan makanan yang tidak terjual dan diedarkan kepada golongan yang memerlukan menerusi program MySaveFood@Ramadan dengan kerjasama Pemuda Gema Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Kasih Ramadan Tanpa Pembaziran anjuran SWCorp di Bazar Ramadan Kosmopleks, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini pada Ahad.

Sukarelawan sepanduk kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran Tahun 2024 di Bazar Ramadan Kosmopleks, Badnar Salak Tinggi pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, penganjuran kempen itu dibuat bagi mengurangkan pembaziran makanan pada Ramadan ini.

Tambahnya, kempen ini disasarkan berikutan hasil dapatan kajian komposisi sisa pepejal mengikut komponen yang dijalankan perbadanan itu merekodkan sisa makanan merupakan sisa yang paling banyak dilupuskan di tapak pelupusan.

"Ia meliputi sebanyak 35.45 peratus bersamaan dengan 86,766.29 tan daripada keseluruhan 244,756.82 tan sisa pepejal yang dilupuskan sepanjang bukan Ramadan tahun lalu.

"Kajian komposisi ini juga merekodkan komponen sisa makanan yang paling banyak dilupuskan pada bulan Ramadan adalah sisa makanan kategori sisa makanan yang tidak dapat dielakkan daripada dilupuskan iaitu 70 peratus (60,736.4 tan).

"Ia merangkumi sisa makanan seperti kulit telur, tulang dan kulit buah-buahan berbanding sisa makanan kategori sisa makanan yang boleh dielak sebanyak 30 peratus bersamaan dengan 26,029.89 tan iaitu lebihan makanan seperti nasi, pasta, daging, buah-buahan dan sayur-sayuran," jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Husaini berkata, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan direkodkan sebagai dua negeri yang mencatatkan peningkatan pembaziran makanan pada Ramadan tahun lalu.

Ahmad Husaini

Menurutnya, kedua-dua negeri itu masing-masing menyaksikan peningkatan 0.93 peratus dan 0.73 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Pada tahun 2023 katanya, sebanyak 64,125.85 tan sisa pepejal dilupuskan di Kuala Lumpur dengan 22,732.61 tan daripada adalah sisa makanan.

Sementara di Negeri Sembilan pula katanya, 28,044.89 tan sisa pepejal termasuk 9,941.91 sisa makanan dilupuskan, pada tempoh sama.

"Lima lagi negeri lain yang berada di bawah selian SWCorp pula mencatatkan penurunan.

"Penurunan yang ketara direkodkan di Pahang dengan 13.01 peratus, diikuti Kedah (5.57 peratus), Perlis (3.71 peratus), Johor (3.28 peratus) dan Melaka (2.49 peratus),” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28