KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga martabak yang berpengalaman menjual juadah itu sejak 30 tahun lalu mengakui makanan tersebut pernah dijual serendah 40 sen pada 1987.
Che Engku Ngah Engku Abdullah, 55 berkata, walaupun ketika itu harganya murah namun saiz martabak yang dihasilkan lebih besar dan intinya tebal.
"Saya masih ingat dulu masa mula-mula jual martabak di sini sekitar tahun 1987 hingga 1988, kita jual martabak dengan harga 40 sen. Waktu tu harga bagi bahan-bahan untuk membuatnya pun murah. Tidaklah mahal macam sekarang.
"Sekarang ni dengan kenaikan harga barang kita sendiri tak mampu untuk kekal jual dengan harga murah. Sebelum ini tiga, empat tahun kita 'maintain' jual harga RM4, tahun ni kita terpaksa juga naikkan RM1 sebab harga bahan mentah terlalu mahal.
"Walaupun jual RM5, saiz dan kualiti tidak berubah, masih sama," katanya ketika ditemui Sinar Harian di gerainya di Chabang Tiga, di sini pada petang Sabtu.
Che Engku Ngah atau lebih popular dengan gelaran Man Martabak Legend berkata, harga bagi seguni bawang merah seberat 9 kilogram mencecah RM80 berbanding RM22 pada tahun lalu.
"Semua bahan-bahan untuk buat martabak naik harga terutama sekali bawang. Bayangkan kalau sehari pakai dalam dua guni bawang. Sudah tentu dah lari harga modal kalau masih kekal harga lama.
"Sama juga dengan tepung. Harga tepung naik kepada RM70 tepung untuk seguni seberat 25 kilogram (kg). Pendek kata semua barang nak buat martabak naik harga termasuk telur ayam," ujarnya.
Che Engku Ngah yang dibantu isteri, Jamilah Jusoh, 52 serta empat anak hanya menjual martabak pada bulan Ramadan.
"Martabak ni saya hanya jual pada bulan Ramadan sahaja. Kalau hari biasa tu kita jual roti canai. Jadi, itulah antara keunikan martabak saya ni sebab hanya ada pada bulan puasa.
"Dari segi sambutan tu kita bersyukur sebab pelanggan masih tak putus-putus. Cuma martabak kita hanya jual ayam, kita gak cukup pekerja untuk buat martabak daging.
"Tahun-tahun sebelum ni kita ada buat martabak daging tapi sekarang dah lama tak buat. Untuk martabak ayam kita ni setiap kita jual sekitar 200 keping sehari sepanjang puasa," katanya.
Sebelum ini, martabak hasil air tangan Che Engku Ngah dan isterinya pernah tular di media sosial kerana diserbu pelanggan disebabkan kualiti dan rasanya yang memuaskan.