Asal merajuk lari rumah

Iklan
PDRM menerima 3,450 kes remaja melarikan diri dari rumah dalam tempoh tiga tahun dan kebanyakannya berusia antara 13 hingga 18 tahun.

"KALAU lari rumah, nak pergi mana?" Itu antara inti perbualan penulis dengan kawan-kawan selepas membaca berita seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas disyaki lari dari rumahnya di Kuarters Hospital Temenggung Seri Maharaja di Kulai, Johor selepas merajuk enggan ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee Hassan berkata, Nurul Aina Najwa Abdul Fatah, 16, kali terakhir dilihat pada jam 12.30 tengah malam di rumahnya pada 5 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Di Putrajaya pula, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner a Asmadi Abdul Azizi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan seorang wanita berusia 20 tahun pada Rabu lalu.

Menurutnya, laporan dibuat bapa tiri wanita itu di Balai Polis Presint 11 selepas mendapati anaknya tiada di rumah dipercayai melarikan diri.

Iklan

Jelasnya, wanita itu dipercayai merajuk selepas ditunjal kepala ketika berlaku perselisihan faham antara keluarga.

Masalah lari dari rumah terutamanya dalam kalangan remaja sebenarnya bukanlah suatu hal yang baharu. Penulis sendiri pernah berdepan dengan masalah kawan-kawan sekolah yang lari rumah dan cuba menumpang di rumah penulis. Malangnya cubaan mereka selalunya gagal sebab bapak penulis tegas, lagipun rumah kami kecil, bilik pun berkongsi.

Iklan

Anak penulis pun pernah cuba lari rumah, tumpang tidur rumah kawan, tapi balik juga...rumah sendiri lagi selesa katanya. Anak saudara penulis pun ada yang cuba lari rumah, merajuk sebab ibunya tidak bersetuju dia berkawan dengan seorang lelaki ini. Namun, dia pulang selepas dua malam tidur di rumah penulis, mungkin sebab mak saudara dia ini lagi banyak bebelnya.

Lari rumah bukan satu isu yang boleh dipandang ringan. Sudah terlalu banyak kes yang dilaporkan. Jika dilihat dari perspektif psikologi, masalah remaja lari dari rumah sering kali dikaitkan dengan proses kematangan otak remaja.

Pegawai Psikologi Unit Kaunseling Keluarga, Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Sarada Devi R Subramaniam meletakkan usia 11 hingga 18 tahun sebagai usia kritikal.

Maka itu, tingkah laku remaja dipengaruhi oleh emosi hingga menyebabkan mereka bertindak di luar kawalan. Tidak kira remaja lelaki atau perempuan, keinginan untuk lari dari rumah sememangnya ada dalam diri mereka.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Sistem Laporan Polis telah menerima 3,450 kes remaja melarikan diri dari rumah dalam tempoh tiga tahun sejak 1 Januari 2018 hingga 31 Januari 2021 dan kebanyakannya berusia antara 13 hingga 18 tahun.

Lebih mengejutkan apabila kira-kira 70 peratus atau 2,393 kes daripada jumlah tersebut membabitkan remaja perempuan manakala remaja lelaki sebanyak 1,057 kes.

Berdasarkan statistik oleh Jabatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak bermula dari tahun 2019 hingga 2022, kes lari dari rumah dalam kalangan remaja meningkat daripada 2,977 kes kepada 3,589 kes.

Sementara melalui kajian yang dilakukan terhadap 379 remaja yang lari dari rumah pada akhir tahun 2011 oleh Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Profesor Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din mendapati sebahagian besar meletakkan tekanan sebagai faktor utama.

Faktor-faktor lain termasuk pengaruh kawan, inginkan kebebasan, bergaduh dengan keluarga, kebosanan dan kekurangan kasih sayang.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Puan Siti Kamsiah Hassan, pelbagai usaha dilakukan PDRM bagi mengatasi isu remaja lari rumah seperti mewujudkan Sistem Amaran Awal Kehilangan Kanak-Kanak di bawah umur 12 tahun yang dikenali sebagai Nur Alert yang dilancar pada tahun 2007.

Besar harapan penulis agar dipermudahkan urusan pihak polis malah masyarakat dalam mengesan mereka yang hilang ini. Nasihat penulis kepada yang lari, pulanglah ke pangkuan keluarga, apatah lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Bagi ibu bapa pula, janganlah berkeras sangat dengan anak-anak. Banyakkan bersabar ya.

*Puperahaizad Darsono ialah penyunting Sinar Harian