MERAK Jalanan hanya mampu menarik nafas panjang apabila akhbar ini pada minggu lalu melaporkan perbelanjaan berbuka puasa Ramadan tahun ini dianggarkan mencecah RM30 bilion.
Jumlah itu meliputi perbelanjaan di bazar Ramadan, restoran dan hotel seperti mana yang dimaklumkan pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.
Hujahnya, daripada jumlah keseluruhan umat Islam seramai 22 juta, dianggarkan separuh daripadanya akan membuat pembelian di bazar Ramadan dengan purata sebanyak RM15 sehari.
Jika dibuat perkiraan perbelanjaan 22 juta umat Islam di bazar Ramadan di seluruh negara bagi tempoh sebulan, jumlahnya mencecah RM5.4 bilion atau RM180 juta sehari.
Angka itu adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding tahun lalu susulan pelbagai sebab termasuk kemungkinan ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga.
Di sebalik keluhan orang ramai berkaitan kenaikan harga barang, 'pendedahan' yang dibuat Dr Barjoyai itu nyata mengejutkan Merak Jalanan.
Apa tidaknya, RM30 bilion itu bukanlah satu angka yang kecil, ia jumlah yang amat besar. Mungkin ada yang akan cakap, 'sampai tujuh keturunan pun tak habis belanja RM30 bilion'.
Dengan jumlah RM30 bilion itu, macam-macam kerajaan boleh buat. Bina atau baiki fasiliti sekolah, hospital dan kemudahan awam lain.
Apapun dalam hal ini, Merak Jalanan percaya orang ramai terutamanya golongan ibu bapa lebih arif untuk membelanjakan wang mereka.
Mereka baru sahaja melepasi satu fasa getir. Sekarang tinggal beberapa lagi fasa penting dalam tempoh kira-kira sebulan ini.
Mungkin rasanya fasa pertama yang mana perbelanjaan sekolah anak sudah selesai. Itu sudah cukup melegakan buat mereka.
"Alhamdulillah selesai satu bab. Sekarang fikir bab belanja bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri saja lagi,” kata seorang sahabat Merak Jalanan yang mempunyai lima orang anak masih bersekolah.