SEPANG - Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan direkodkan sebagai dua negeri yang mencatatkan peningkatan pembaziran makanan pada bulan Ramadan tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata, kedua-dua negeri itu masing-masing menyaksikan peningkatan 0.93 peratus dan 0.73 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Beliau memberitahu, pada tahun 2023, sebanyak 64,125.85 tan sisa pepejal dilupuskan di Kuala Lumpur dengan 22,732.61 tan daripadanya adalah sisa makanan.
Sementara di Negeri Sembilan pula katanya, 28,044.89 tan sisa pepejal termasuk 9,941.91 sisa makanan dilupuskan, pada tempoh sama.
"Lima lagi negeri lain yang berada di bawah selian SWCorp pula mencatatkan penurunan. Penurunan yang ketara direkodkan di Pahang dengan 13.01 peratus, diikuti Kedah (5.57 peratus), Perlis (3.71 peratus), Johor (3.28 peratus) dan Melaka (2.49 peratus)," katanya ketika ditemui selepas sesi libat urus Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran Sempena Ramadan 2024 di Bazar Ramadan Kosmopleks Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut Ahmad Husaini memaklumkan, secara purata setiap hari sebanyak 8,159 tan sisa pepejal dilupuskan di 29 tapak pelupusan pada Ramadan 2023 dan daripada jumlah itu 35.45 peratus atau 2,892 merupakan sisa makanan.
"Secara keseluruhan jumlah sisa makanan adilupuskan pada bulan Ramadan didapati bertambah setiap tahun dari 2019 hingga 2022. Bagaimanapun pada tahun 2023, jumlah sisa makanan yang dilupuskan pada bulan Ramadan didapati berkurangan sebanyak 3.07 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya," ujarnya.
Ahmad Husaini menjelaskan, hasil perbandingan jumlah pelupusan sisa makanan bagi tujuh negeri menerima pakai Akta 672 pada bulan Ramadan tahun 2023 menunjukkan jumlah pelupusan sisa makanan paling tinggi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan diikuti dengan Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perlis.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28