SEREMBAN - Pemaju hartanah Seri Pajam Development Sdn Bhd melancarkan projek perumahan pertamanya di kawasan Labu di sini, berkonsepkan kediaman berstrata pangsapuri dikenali sebagai Nada Bidara.
Bermula dengan harga RM246,500 sehingga RM379,000, projek yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM483.3 juta itu dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada bakal pembeli.
Ketua Pegawai Operasinya, Ten Wee Seong berkata, ini kerana kawasannya yang strategik iaitu berada di antara Seremban dan Nilai berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa(KLIA) serta berada dalam kawasan projek Lembah Wawasan Malaysia (MVV).
"Selain itu lokasi ini turut berada berhampiran stesen Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang dicadangkan dan kawasan Sendayan yang kini sedang membangun yang sudah tentu akan menjadi sumber pelaburan terbaik kepada pembeli.
"Kami yakin Nada Bidara akan diterima baik dalam pasaran, malah lebih 200 unit rumah fasa pertama iaitu tunas residensi telah terjual,” katanya pada sidang akhbar sempena pembukaan galeri jualannya di sini, hari ini.
Menurutnya, terdapat 1,700 unit rumah ditawarkan di kawasan seluas 37.4 hektar itu yang dijangka mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
Beliau berkata, pangsapuri setinggi tujuh dan lapan tingkat itu menawarkan pilihan keluasan 930 hingga 1,000 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air.
"Projek pembinaan fasa pertama ialah tunas residensi terdiri dari tiga blok kediaman sebanyak 460 unit dan dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.
"Terdapat lebih 11 kemudahan akan diintegrasikan ke dalam tunas ini untuk kegunaan eksklusif penduduk iaitu dewan,trek joging, tasik seluas 1.5 hektar yang memberi pemandangan menenangkan serta enam kiub sky yang dilengkapi aktiviti berlainan,” katanya.
Selain itu katanya, perumahan itu berada dalam kawasan berpagar dan mempunyai pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam sekaligus memberi lebih jaminan keselamatan.
Oleh sebab itu katanya, Nada Bidara merupakan sebuah kejiranan yang terbaik kerana direka dengan kriteria pintar, lestari dan liabiliti.
Sementara itu katanya, pada tahun ini pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada pelan perniagaan berteraskan pembangunan hartanah dengan harga mampu milik.
"Ini kerana majoriti pembeli rumah mampu membeli rumah pada harga ini dan kami akan meneruskan aliran seumpama ini,” katanya.