ISKANDAR PUTERI – Seramai 42 wanita termasuk 40 warga Thailand serta dua masing-masing warga Indonesia dan Mynamar yang disyaki bekerja sebagai 'gadis kalung bunga' dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di sini, Jumaat lalu.
Turut ditahan dalam serbuan itu, dua lelaki masing-masing warga China dan Bangladesh.
Menurut Pengarah JIM Negeri Johor, Baharuddin Tahir, serbuan dibuat susulan aduan menyatakan terdapat beberapa warga asing tinggal dan bekerja tanpa pas serta permit yang sah di pusat hiburan berkenaan selain turut didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang di negeri ini.
"Sekitar jam 12.10 pagi Jumaat lalu, pihak JIM Negeri Johor dalam satu tindakan penguatkuasaan telah melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan di Iskandar Puteri dan menahan 44 warga asing.
"Kesemua warga asing ditahan yang berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun itu disyaki bekerja sebagai 'gadis kalung bunga' di pusat hiburan berkenaan dengan menerima bayaran sekitar RM50 hingga RM500 bagi khidmat layanan yang diberikan.
"Pihak JIM turut melakukan serbuan di penempatan pekerja-pekerja tersebut di tingkat tiga pusat hiburan berkenaan dan hasil siasatan turut mendapati kesemua yang ditahan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan PLS.
Sementara itu Baharuddin berkata, pihak JIM memandang serius isu warga asing yang menyalahgunakan kemudahan untuk tinggal di Malaysia dengan menyalahgunakan pas diberikan dan terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.
‘Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melanggar undang-undang termasuk pihak majikan dan premis yang menggajikan mereka tanpa dokumen perjalanan dan pas/permit yang sah,” katanya.
JIM Johor tahan 63 warga asing tiada permit bekerja
Dalam perkembangan berasingan, Baharudin berkata, JIM Johor menahan 63 warga asing yang disyaki bekerja tanpa permit sah di sekitar bandar raya ini hasil serbuan di 26 premis sejak Rabu lalu.
Menurutnya, kesemua warga asing yang ditahan melibatkan sembilan lelaki warga Nepal, India (lapan), Bangladesh (21), Pakistan (enam), dua lelaki dan lima perempuan warga Indonesia, empat lelaki, empat perempuan termasuk dua kanak-kanak lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar dan seorang perempuan warga Filipina berusia antara tiga hingga 61 tahun.
"Kesemua mereka yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit sah untuk berada di Malaysia.
"Mereka juga ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
"Selain itu, sebanyak lapan notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan kepada individu-individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu Baharuddin berkata, pihak JIM Negeri Johor akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan di seluruh negeri bagi membanteras isu kebanjiran PATI.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap PATI yang melanggar undang-undang dan majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan serta permit kerja yang sah,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!