redONE sasar tersenarai awam menjelang 2027

Iklan
redONE menyasarkan 1.7 juta pengguna aktif menjelang 2027.

PENGENDALI Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO), redONE Network Sdn Bhd (redONE) menyasarkan 1.7 juta pengguna aktif menjelang 2027 bagi memenuhi hasratnya menjadi syarikat tersenarai awam.

Demikian dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Ameen Amaendran Abdullah yang optimis sasaran tersebut mampu dicapai menerusi strategi bakal dilaksanakan oleh syarikat itu.

Iklan
Iklan

Strategi itu jelas beliau adalah melibatkan penjenamaan semula imej serta identiti rangkaian itu termasuk slogan ‘redONE back to basics’ kepada ‘redONE Mobile’.

"Justeru, dengan imej serta identiti baharu redONE Mobile, ia bakal mengubah sentimen pasaran serta penerimaan para pengguna terhadap rangkaian mudah alih kami.

Iklan

"Formulanya cukup mudah, kami ingin dikenali sebagai penyedia perkhidmatan mudah alih yang menawarkan pelan nilai terbaik pada harga berpatutan.

"Pada masa sama, redONE Mobile membolehkan para pelanggan berhubung di mana-mana sahaja mereka berada dengan liputan yang menyeluruh,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Iklan

Memantapkan lagi pengurusan redONE, Ameen Amaendran memberitahu, pihak pengurusan akan mengambil kira pelbagai perspektif berdasarkan segala cadangan serta maklum balas setiap kakitangan syarikat itu.

Malah, inisiatif pembaharuan itu jelasnya mampu memupuk hubungan yang lebih baik di antara pihak pengurusan serta kakitangan di semua peringkat sekali gus mewujudkan operasi lebih efisien serta pertumbuhan redONE yang positif.

"Penting untuk memastikan kakitangan dan rakan kongsi jualan dapat menyesuaikan diri dengan identiti jenama baharu selain mesej dalam semua platform dan ‘touchpoint’ dapat diselaraskan.

"Malah, usaha ini termasuk mengemaskini sistem, proses, bahan pemasaran dan komunikasi,” jelas beliau yang dilantik menerajui redONE pada November tahun lalu.

Pelan baharu 5G

Dalam perkembangan lain, Ameen Amaendran memaklumkan redONE akan melancarkan produk pelan rangkaian prabayar dan pascabayar 5G baharu tidak lama lagi.

Dengan tawaran data gigabait (GB) yang lebih besar, pelan prabayar dan pascabayar itu mampu memberi kepuasan kepada para pelanggan semua peringkat, sesuai dengan pilihan bajet mereka.

Paling menarik, pelan prabayar dan pascabayar 5G baharu redONE Mobile menawarkan ketersambungan (connectivity) rangkaian yang lebih pantas, menghubungkan pengguna dengan pengguna yang lain tanpa gangguan isyarat atau penghantaran data serta kelewatan sambungan.

"Justeru, dengan jenama, saluran strategi, transformasi teknologi serta produk pelan rangkaian baharu, kami optimis mampu mencapai sasaran jualan sehingga RM490 juta menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.

Sehingga kini, redONE mempunyai 1.2 juta pelanggan aktif di Malaysia manakala Singapura dan Thailand masing-masing mempunyai lebih daripada 35,000 dan 30,000 pelanggan aktif.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28